Penerima Peruntukan Rumah Ibadat Diseru Hantar Laporan Projek
KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) menyeru semua penerima peruntukan rumah ibadat di negeri ini untuk memberikan kerjasama dengan mengemukakan laporan kemajuan projek bagi memastikan setiap projek yang dilaksanakan berjalan lancar dan mencapai matlamatnya.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab ke atas UNIFOR, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mendedahkan terdapat 154 projek yang masih belum menghantar sebarang laporan mengenai kedudukan peruntukan yang diberikan.
“Jadi, kita minta mereka ini memberi laporan kepada kita secepat mungkin kerana kita ada dasar.
“Pertama, kalau peruntukan tahun itu belum dibelanjakan, kita tidak akan mempertimbangkan untuk memberi peruntukan tahun depan.
“Begitu juga kepada projek-projek yang tidak memberi laporan kerana ini penting, ia melibatkan akauntabiliti dan tadbir urus yang kita tetapkan,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Cek Fasa Ketiga 2025 UNIFOR di Wisma Bapa Malaysia pada Khamis.
Terdahulu semasa berucap, Datuk Amar Douglas Uggah menegaskan bahawa langkah itu penting bagi memastikan setiap projek yang menerima dana dapat dipantau dengan baik serta mematuhi prosedur audit kerajaan.
“Laporan ini penting kerana audit ingin mengetahui kemajuan projek, apa yang telah berlaku, dan siapa yang mendapat manfaat.
“Jika Yang Berhormat (wakil rakyat) dapat memastikan penerima menyerahkan laporan secepat mungkin, ia akan sangat membantu pihak kami,” ujarnya.
Beliau juga memaklumkan bahawa UNIFOR akan meneruskan kerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam melibatkan juruukur bahan (QS) bagi menilai kos setiap projek rumah ibadat.
Langkah itu, katanya, penting untuk memastikan projek dilaksana secara berstruktur dan berasaskan penilaian profesional.
Datuk Amar Douglas Uggah turut mengingatkan mengenai isu cek bantuan yang pernah dilapor tamat tempoh kerana tidak diserahkan segera.
Justeru beliau menegaskan mengenai kepentingan penyerahan awal kepada penerima bagi mempercepatkan pelaksanaan projek di lapangan.
Dalam majlis ini, sebanyak RM40.5 juta disalurkan kepada 51 wakil rakyat bagi melaksanakan 138 projek pembinaan semula atau pembaikan rumah ibadat agama-agama lain di seluruh Sarawak.
Turut hadir semasa majlis ini ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Lukanisman Awang Sauni, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara & Jalan) Datuk Dr. Jerip Susil dan Pengarah UNIFOR Dato Georgina Apphia Ngau.-EDISI UKAS