Sarawak Pacu Penyelidikan Berasaskan Komuniti Melalui GlobeCoReS 2025
MIRI: Sarawak mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju penyelidikan berasaskan komuniti di peringkat antarabangsa apabila edisi kedua Globesync Community Research and Sustainability Conference (GlobeCoReS) 2025 berlangsung di Curtin University Malaysia pada Khamis.
Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapa’ee mewakili Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
Dato Sri Roland menegaskan penyelidikan hanya bernilai apabila ia memanfaatkan masyarakat, bukan sekadar menghasilkan data atau penerbitan akademik.
“Nilai ilmu terserlah apabila ia diterjemahkan kepada dasar, inovasi dan tindakan yang membawa perubahan sebenar kepada rakyat,” tegasnya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Datuk Dr Annuar.
Beliau berkata, komitmen kerajaan terhadap pembangunan mampan dan inklusif melalui PCDS 2030 menuntut penyelidikan yang lebih translasional, pragmatik dan responsif terhadap keperluan komuniti.
Dato Sri Roland turut memuji peranan Curtin Malaysia sebagai rakan strategik penting dalam mengukuhkan ekosistem penyelidikan Sarawak melalui penyelidikan komuniti, inovasi berimpak sosial, keterlibatan industri, dan jaringan kerjasama antarabangsa.
Tahun ini, GlobeCoReS mencatat lebih 1,000 penyertaan fizikal dan maya daripada 35 negara, sekali gus menegaskan reputasinya sebagai persidangan penyelidikan komuniti dan kelestarian yang semakin mendapat perhatian global.
Salah satu perkembangan paling signifikan GlobeCoReS 2025 ialah pemeteraian GlobeSync Consortium, sebuah rangkaian global melibatkan institusi dari Kazakhstan, Hong Kong, Korea Selatan, Indonesia, Malaysia dan Filipina.
Konsortium ini bakal menjadi pemangkin penyelidikan bersama dalam bidang komuniti Orang Asal, penuaan sihat dan kesejahteraan, transformasi kesihatan, dan kelestarian sosial serta alam sekitar.-EDISI UKAS