UKAS Perkukuh Usaha Dekati & Perkasa Generasi Muda Sarawak
LUNDU: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) terus meningkatkan usaha memperkasa generasi muda menerusi penganjuran Program iNFO-FUN with UKAS @ CENTEXS Lundu, sebuah platform interaktif bertujuan menyampaikan maklumat sahih kerajaan serta memupuk nilai kepimpinan dan jati diri anak muda Sarawak.
Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, program Outreach UKAS kini menjadi antara inisiatif utama kerajaan dalam mendekati mahasiswa, mahasiswi dan golongan belia sebagai pelapis kepimpinan negeri.
“Generasi muda adalah aset penting masa hadapan Sarawak, melalui program Outreach UKAS, kita memastikan mereka menerima maklumat tepat, sahih dan terkini, sekali gus membentuk pemikiran yang matang, dinamik dan progresif,” katanya dalam majlis penangguhan program tersebut di CENTEXS Lundu pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang dan ADUN Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan kerana tetap meluangkan masa hadir walaupun Persidangan DUN Sarawak baru selesai semalam.
Program tahun ini menampilkan pendekatan lebih dinamik, selaras dengan penambahbaikan yang dilaksana sejak 2025, termasuk kerjasama strategik bersama institusi pendidikan serta agensi-agensi kerajaan peringkat negeri dan Persekutuan.
Sebanyak 12 agensi mengambil bahagian melalui pameran, kaunter perkhidmatan, taklimat, latihan dalam kumpulan serta sesi mini townhall merangkumi CENTEXS Lundu, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak, Yayasan Sarawak dan Majlis Seni Sarawak (MSS).
Selain itu, ia turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), JPejabat Kesihatan Daerah Lundu, Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) dan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC).
Beliau menambah, penglibatan pelbagai agensi membuktikan komitmen bersama untuk memastikan golongan muda mendapat maklumat komprehensif dan mudah difahami.
Mengakhiri ucapan, beliau menegaskan komitmen UKAS untuk meneruskan program seperti ini secara lebih inklusif dan menyeluruh.
“UKAS akan terus memperluas program Outreach agar rakyat, terutama generasi muda, sentiasa mendapat maklumat sahih mengenai agenda pembangunan negeri,” tambahnya.-EDISI UKAS