Belia Perlu Rebut Peluang, Bina Keyakinan & Potensi Diri
LUNDU: Generasi muda Sarawak diseru untuk memanfaatkan sepenuhnya setiap program dan platform yang disediakan kerajaan dalam usaha memperkukuh potensi diri serta mempersiapkan diri menghadapi cabaran dunia masa kini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang, menegaskan belia harus berani mengambil peluang daripada latihan, pendedahan dan maklumat yang disediakan melalui inisiatif kerajaan negeri ini.
Menurutnya, bahawa banyak platform telah diwujudkan kerajaan untuk membantu belia mengembangkan kemahiran, pengetahuan dan keyakinan diri.
“Ambil bahagian dalam setiap program, latihan dan pendedahan sebagai peluang untuk mempersiapkan diri menghadapi dunia yang semakin mencabar ini.
“Gunakan platform yang disediakan seperti ini untuk mendapatkan maklumat serta membangunkan potensi diri. Ramai yang mempunyai potensi besar, terutamanya dalam bidang digital,” jelasnya dalam Program Outreach UKAS 2025: Memperkasa Mahasiswa @ Centexs Lundu pada Khamis.
Billy menambah, Sarawak kini memerlukan belia yang bukan sahaja celik maklumat, tetapi juga berupaya mencipta nilai kepada komuniti masing-masing.
“Kita perlukan belia yang bukan hanya tahu informasi, tetapi mampu mencipta nilai. Ini sangat penting untuk masa depan Sarawak,” tegasnya.
Tambahnya, program sehari seperti anjuran UKAS ini bukan sekadar mengisi masa peserta, tetapi menjadi permulaan kepada pembentukan jati diri belia yang lebih yakin, berdisiplin dan berwawasan.-EDISI UKAS