SCS Cybersecurity Week 2025, Perkukuh Budaya Keselamatan Siber Perkhidmatan Awam Sarawak
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh budaya keselamatan siber dalam Perkhidmatan Awam negeri melalui penganjuran SCS Cybersecurity Week 2025, yang berlangsung dari 1 hingga 4 Disember 2025.
Program anjuran Unit Pendigitalan Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSDU) dengan kerjasama Sarawak Information Systems Sdn. Bhd. (SAINS) itu sekali lagi menegaskan komitmen kerajaan untuk meningkatkan keupayaan digital penjawat awam, memperkukuh disiplin keselamatan data serta memastikan agensi kerajaan bersedia menghadapi ancaman siber.
Acara kemuncak yang diadakan hari ini menghimpunkan lebih 300 peserta bagi sesi “A Session with YB Datuk Amar Sarawak State Secretary”.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah bin Haji Zaidel, hadir merasmikan acara berkenaan mewakili Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Penyertaan yang merangkumi kementerian, jabatan kerajaan, badan berkanun, pihak berkuasa tempatan serta syarikat milik kerajaan (GLC) jelas mencerminkan kesedaran bahawa keselamatan siber merupakan tanggungjawab bersama dan bukan hanya terletak pada pasukan teknikal.
Sepanjang empat hari penganjurannya, SCS Cybersecurity Week 2025 menyediakan platform latihan menyeluruh bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan kecekapan penjawat awam dalam menghadapi ancaman digital.
Dari 1 hingga 3 Disember, enam siri Program Kesedaran Keselamatan Siber telah dijalankan secara dalam talian, merangkumi topik berkaitan ancaman siber semasa, amalan digital selamat dan kepentingan perlindungan data kerajaan.
Pada masa sama, latihan Cybersecurity Essentials for Government Professionals telah dilaksanakan secara fizikal dari 2 hingga 3 Disember bagi pegawai gred N9 ke atas, dengan penekanan kepada peranan kepimpinan dalam tadbir urus keselamatan siber, kesiapsiagaan tindak balas insiden serta pematuhan dasar keselamatan negeri.
Acara penutup turut menyaksikan penyampaian SCSDU Digital Excellence Awards 2025, yang mengiktiraf agensi dan pemimpin digital atas pencapaian cemerlang dalam tadbir urus digital serta transformasi perkhidmatan.
Antara anugerah yang disampaikan adalah 5-Star Rating Website (2024), Best Data Trustee Agency Working Group (DTAWG), SCS Digital First Agency Award, 100% Digital Literacy Excellence Award, Best Assistant Chief Digital Officer (ACDO)dan Best Chief Digital Officer (CDO).
Penganjuran SCS Cybersecurity Week 2025 sekali lagi membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh ketahanan siber, di samping memastikan seluruh penjawat awam memainkan peranan penting dalam menjaga keselamatan ekosistem digital negeri.-EDISI UKAS