ALR Ke-12 Perkukuh Hubungan Malaysia & Singapura, Kerjasama Tenaga Sarawak Jadi Tumpuan
SINGAPURA: Malaysia dan Singapura terus memperkukuh hubungan dua hala melalui beberapa persefahaman yang dicapai dalam Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia–Singapura (ALR) Ke-12 pada Khamis.
Ini meliputi isu penerbangan, sempadan, kedaulatan negara serta kerjasama tenaga dengan Sarawak menjadi salah satu aspek yang diberi perhatian.
Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata, rundingan mengenai laluan pesawat Singapura serta laluan dari Malaysia ke Sabah dan Sarawak telah mencapai persetujuan awal, tertakluk kepada syarat bahawa penerbangan dari Semenanjung ke negeri-negeri di Borneo diberikan akses yang lebih mudah dan bebas.
"Ini termasuk laluan pesawat untuk kegunaan Singapura dan juga laluan pesawat Malaysia atau dari Malaysia ke timur terutamanya ke Sabah dan Sarawak yang jauh lebih besar.
"Jadi kita bersetuju kalau maksud membantu menyelaras dan memudahkan perjalanan Singapura, kita juga kenakan syarat supaya laluan dijamin mudah dan bebas untuk penerbangan dari Malaysia atau Semenanjung ke Sabah Sarawak dan ke Timur," ujarnya semasa sidang media selepas ALR Ke-12 di sini.
Sidang media itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, serta Menteri Besar Johor, Dato' Onn Hafiz Ghazi.
Sementara itu, Perdana Menteri turut menekankan bahawa Malaysia dan Singapura mempunyai kesepakatan yang kukuh dalam agenda peralihan tenaga serta import elektrik termasuk tenaga yang akan dibekalkan dari Sarawak.
"Telah ada muafakat berkaitan bidang ini. Kita hendak memastikan supaya Sarawak yang punya lebihan tenaga boleh mudah mengeksport dan kita boleh jamin supaya keperluan Semenanjung dipenuhi dan juga keperluan Singapura," jelas beliau.
Perdana Menteri juga telah memaklumkan perkara tersebut kepada agensi berkaitan terutamanya di bawah Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air untuk melakukan tindakan segera.
Terdahulu, Dato' Seri Anwar dan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong serta pemimpin yang lain telah menyaksikan tiga pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) iaitu di antara Kementerian Dalam Negeri Malaysia dan Kementerian Pengangkutan Singapura, Kementerian Dalam Negeri Malaysia dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri Singapura serta Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Kesihatan Singapura. -EDISI UKAS