Sarawak Sambut Baik Hasrat Singapura Buka Pejabat Konsulat Di Kuching
SINGAPURA: Kerajaan Sarawak menyambut baik hasrat Singapura untuk membuka Pejabat Konsulat di Kuching.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Sarawak telah lama menjalin hubungan dagangan yang baik dengan republik berkenaan.
"Perhubungan Singapura dengan Malaysia begitu erat, dan kita mempunyai perhubungan dagangan yang banyak juga di antara Sarawak dengan Singapura.
"Jadi saya mengalu-alukan hasrat ini," ujarnya semasa sidang media bersama Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim di sini, pada Khamis.
Terdahulu dalam sidang media sempena Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura (ALR) Ke-12, Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong menyatakan hasrat untuk membuka Pejabat Konsulat di Kuching.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, buat masa ini Sarawak telah mempunyai Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS) dan dengan pembukaan Pejabat Konsulat Singapura di Kuching, ia akan mengukuhkan lagi hubungan dua hala.
Dalam pada itu, Dato' Seri Anwar bersetuju dengan perkara tersebut termasuk hasrat untuk menubuhkan pejabat yang sama di Sabah.
Jelasnya, ini akan mempereratkan lagi hubungan di antara dua negara. -EDISI UKAS