BINTULU: Regatta Bintulu 2025 kembali menghidupkan suasana Sungai Kemena selepas lebih sedekad tidak dianjurkan, menarik penyertaan 17 pasukan dari Bintulu, Ulu Belaga dan kawasan sekitar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, penganjuran semula acara sukan air tradisi itu menunjukkan komitmen masyarakat setempat dalam memelihara budaya, selain berpotensi merancakkan ekonomi pelancongan daerah ini.
Menurutnya, kemeriahan dapat dilihat sepanjang Batang Kemena apabila penduduk menghias jelatong dan kediaman masing-masing sebagai tanda sokongan terhadap regata tersebut.
“Sambutan amat baik. Ketika menyusuri Sungai Kemena tadi, kita dapat melihat hiasan di jelatong yang menggambarkan semangat masyarakat selepas begitu lama pesta ini tidak diadakan.
“Penganjuran regata bukan sahaja menghidupkan semula tradisi, tetapi turut menarik kehadiran pelancong dan membantu menjana ekonomi tempatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas acara Perlepasan Lumba Perahu sempena Regatta Bintulu 2025 di Sungai Kemena, pada Jumaat.
Justeru, Iskandar berharap agar regatta berkenaan terus dijadikan acara tahunan dan penganjur dapat menambah lebih banyak kategori pertandingan seperti lumba bot laju pada edisi akan datang bagi memeriahkan lagi suasana bandar Bintulu.
Dalam masa yang sama, beliau mengajak penduduk Bintulu serta masyarakat dari Sebauh, Tatau, Mukah, Balingian, Sibu dan Miri hadir memeriahkan program yang berlangsung di Pier 99 yang menampilkan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung.
Regatta Bintulu 2025 berlangsung sehingga Ahad ini dengan pelbagai acara air dan persembahan hiburan dijadualkan sepanjang penganjurannya.-EDISI UKAS