Mini Craft Festival 2025 Berlangsung 10 Hingga 15 Disember Ini
MIRI: Miri Craft Festival 2025 anjuran Sarawak Craft Council (SCC) bakal berlangsung dari 10 hingga 15 Disember 2025 di FORUM Cultural Centre Miri, menampilkan 90 gerai pameran serta pelbagai aktiviti berteraskan budaya, gastronomi dan kraf tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif SCC, Suriya Charles Buas berkata, pemilihan Bandar Raya Miri sebagai lokasi penganjuran dibuat berdasarkan kesesuaian fasiliti dan kedudukan strategik FORUM Cultural Centre yang mampu menyokong penganjuran berskala besar serta menarik kehadiran masyarakat dan pelancong.
“Miri Craft Festival 2025 berorientasikan tiga komponen saling melengkapi iaitu budaya, gastronomi dan kraf. Ketiga-tiga elemen ini digabungkan bagi memperkukuh identiti warisan Sarawak serta memberi nilai tambah kepada penggiat kraf tempatan,” katanya dalam mesyuarat sidang media program berkenaan di sini, pada Khamis.
Menurutnya, festival yang berlangsung dari 10 pagi hingga 10 malam itu akan dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada 10 Disember ini.
Suriya turut menjelaskan bahawa festival tersebut merangkumi pelbagai aktiviti seperti jualan dan pameran kraf, demonstrasi, bengkel interaktif, townhall, pocket talk, persembahan Pentas Suara Emas Orang Ulu, jualan makanan dan minuman serta hiburan budaya dan busking.
“Pocket talk ini memberi ruang kepada penggiat kraf dan pelancongan mendapatkan input termasuk perkongsian daripada Sarawak Tourism Board mengenai promosi kraf dan maklumat daripada Kementerian Tourism, Creative Industry & Performing Arts berhubung peluang dana serta fasilitasi yang tersedia,” katanya.
Selain itu, beliau memaklumkan bahawa 90 pengusaha kraf telah pun mengesahkan penyertaan, manakala pertandingan menyumpit menerima sambutan meluas daripada peserta Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan, Lawas dan Brunei Darussalam.
Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Persediaan Miri Craft Festival 2025 bersama agensi dan rakan strategik termasuk Pejabat Residen Bahagian Miri, Majlis Bandaraya Miri, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Visitors’ Information Centre Miri, RTM Miri, Kelab Wanita Berwawasan Baram dan Kelab Sukan Sumpit Lun Tau.
Penganjuran festival ini dijangka membuka lebih banyak ruang pemasaran kepada penggiat kraf tempatan selain mempamerkan kepelbagaian kraf etnik Sarawak kepada umum. - EDISI UKAS