KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) hari ini menerima kunjungan hormat daripada delegasi Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Ibu Pejabat UKAS di sini.
Kunjungan tersebut menjadi platform penting untuk kedua-dua agensi memperhalusi perancangan komunikasi masa hadapan, sekali gus membuka peluang kerjasama strategik yang lebih tersusun, efektif dan memberi impak kepada masyarakat.
Delegasi J-KOM diketuai oleh Pengarah J-KOM Zon Sarawak, Ajes Tuah dan disambut oleh Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan.
Dalam sesi tersebut, J-KOM turut memberi penjelasan komprehensif mengenai fungsi serta peranan jabatan, di samping membentangkan rangka perancangan komunikasi strategik untuk pelaksanaan pada masa akan datang.
Pertemuan itu juga menjadi medan perbincangan dua hala bagi kedua-dua pihak bertukar pandangan, berkongsi pengalaman serta meneroka pendekatan terbaik dalam memperkukuh sistem penyampaian maklumat yang lebih inklusif, berkesan dan responsif terhadap keperluan rakyat.-EDISI UKAS-