Projek Replika Kubu Rentap Bakal Pacu Pelancongan Betong
BETONG: Projek pembinaan Replika Kubu Rentap di Bukit Sadok bernilai RM16 juta menjadi langkah strategik dalam memperkukuh sektor pelancongan berasaskan sejarah di Betong, sekali gus membuka peluang baharu kepada pertumbuhan ekonomi komuniti setempat.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, inisiatif berkenaan dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk sekitar melalui peningkatan kehadiran pelancong serta peluang ekonomi yang lebih luas.
Menurut beliau, wakil rakyat di kawasan Betong sentiasa berusaha merangka inisiatif baharu bagi menarik kehadiran pelancong luar ke kawasan tersebut.
“Pembinaan Replika Kubu Rentap ini membawa keuntungan kepada rakyat khususnya penduduk setempat.
“Kami berusaha mewujudkan satu elemen yang mampu menarik orang luar untuk datang ke Betong,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Pecah Tanah dan Serah Tapak bagi Cadangan Pembinaan Replika Kubu Rentap Lengkap dengan Kemudahan Sokongan di Bukit Sadok pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban menegaskan bahawa sektor pelancongan merupakan antara pemacu utama dalam memperkukuh ekonomi masyarakat melalui peluang perniagaan serta penciptaan pekerjaan.
Datuk Amar Douglas Uggah memberitahu, projek berkenaan akan dibangunkan dengan reka bentuk kubu lama yang menampilkan elemen tradisional berkonsepkan rumah panjang lengkap dengan kemudahan sokongan.
Menurutnya, replika itu merangkumi 10 unit chalet lengkap dengan pantry dan bilik air, tanju, panggau, ruai, tempuan serta sebuah pusat informasi.
Jelas beliau, pembangunan fasa pertama ini dilihat sebagai langkah penting dalam memperkenalkan Bukit Sadok kepada pelawat luar di samping meningkatkan nilai sejarah serta daya tarikan kawasan berkenaan.
Mengulas lanjut, beliau turut menyentuh mengenai pembangunan infrastruktur yang akan menyokong pertumbuhan pelancongan di kawasan itu termasuk pembukaan lapangan terbang di Spaoh serta pembinaan Jambatan Batang Lupar 2.
Projek pembinaan replika kubu tersebut telah bermula pada 24 Mac lalu dan dijangka siap pada 28 Mac 2028.
Selain itu, projek pembinaan jalan raya sepanjang 3.1 kilometer dari Rumah Panjang Jambu Kerampak ke kaki Bukit Sadok turut dilaksanakan dengan kos RM39 juta bagi meningkatkan akses ke kawasan tersebut.
Turut hadir ialah Mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu Numpang serta Ahli Parlimen Betong Dato Dr. Richard Rapu.-EDISI UKAS