Buku Biografi ‘Abang Johari: Sarawak’s First Premier’ Dilancarkan, Jadi Rujukan Penting Untuk Generasi Kini & Akan Datang
KUCHING: Buku Biografi ‘Abang Johari: Sarawak’s First Premier’ karya Profesor Universiti Sydney, Melbourne dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Michael B. Leigh dijangka menjadi rujukan penting bagi generasi kini dan akan datang dalam memahami perjalanan kepimpinan serta pembangunan moden Sarawak.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, buku biografi berkenaan membawa nilai besar bukan hanya sebagai catatan sejarah, tetapi sebagai sumber penting dalam memahami arah tuju pembangunan negeri.
“Dokumentasi kehidupan dan kepimpinan Premier Sarawak menggambarkan perjalanan penuh visi, dedikasi dan komitmen tinggi terhadap kemajuan Sarawak, termasuk dalam transformasi digital, strategi ekonomi dan usaha memperkasa autonomi sumber negeri.
“Inisiatif beliau dalam mengukuhkan sambungan infrastruktur, memajukan komuniti luar bandar dan mempelbagaikan ekonomi menunjukkan tekadnya membina Sarawak yang moden, berdaya tahan dan inklusif.
“Kepimpinan beliau sentiasa berpihak kepada rakyat Sarawak, menjangkau setiap pelosok negeri, dari Tanjung Datu hingga Lawas, bagi memastikan tiada komuniti yang ketinggalan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis pelancaran buku berkenaan di Dayak Cultural Foundation (DCF) pada Jumaat.
Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi merakamkan penghargaan kepada DCF kerana mengambil inisiatif menerbitkan biografi berimpak besar ini dan memuji dedikasi Profesor Michael , seorang sarjana yang mempunyai rekod panjang dalam mengkaji landskap politik dan sosial Sarawak sejak 1960-an.
Majlis ini turut dihadiri oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Hadir sama, isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, anakanda Premier Sarawak Dayang Norjihan, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam serta isteri Datin Patinggi Puan Sri Datuk Wira Lorna Enan Muloon Chan, Mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu Numpang serta isteri Tan Sri Dato' Sri Empiang Jabu, Pengerusi Yayasan Tun Jugah dan Pemegang Amanah Pengurusan DCF, Datuk Patinggi Tan Sri Leonard Linggi, Menteri-Menteri Kerajaan Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak dan dif-dif kenamaan yang lain.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Muhammad Hanif Suhaimi