MIRI: Sambutan World Tourism Day (WTD) 2025 peringkat Sarawak di Miri menyerlahkan komitmen negeri ini dalam memperkukuh agenda pelancongan bertanggungjawab serta pembangunan mampan di negeri ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I (Pelancongan), Dato Sebastian Ting Chiew Yew, berkata tema WTD 2025, Tourism and Sustainable Transformation, amat selaras dengan aspirasi Sarawak untuk membangunkan sektor pelancongan yang inklusif, bertanggungjawab dan lestari.
“Kerajaan negeri sentiasa memastikan komuniti tempatan menjadi peneraju utama dalam pembangunan pelancongan lestari melalui pendidikan, penyelidikan dan kerjasama strategik dengan institusi akademik serta rakan serantau,” katanya.
Beliau berucap demikian mewakili Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika majlis perasmian di Skylark 3-102, Curtin University Malaysia baru-baru ini.
Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan pemilihan Miri sebagai tuan rumah International Conference on Responsible Tourism and Hospitality (ICRTH) 2026 yang dijadual berlangsung dari 6 hingga 11 Julai 2026.
Sementara itu, Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang menyifatkan bandar raya itu sebagai “Gerbang Utara Sarawak” yang semakin menonjol sebagai destinasi pelancongan utama berasaskan warisan, alam semula jadi dan pembangunan pesat.
Katanya, Sarawak menerima hampir dua juta pelawat dari Januari hingga Mei 2025, manakala Miri mencatat purata kadar penginapan hotel sekitar 55 peratus tahun ini, menunjukkan keyakinan pelancong semakin pulih.
Sambutan WTD 2025 anjuran Sarawak Research Society (SRS) dengan kerjasama Curtin University Malaysia dan Responsible Borneo (REBORN) turut diserikan dengan penganjuran program Sustainable Business & AI Bootcamp yang merangkumi ceramah keusahawanan, bengkel kecerdasan buatan serta forum berkaitan pertanian mampan dan agro-pelancongan.
Acara kemuncak termasuk pembentangan pelancongan, pelancaran JRTM 2025 serta forum bertemakan Sustainable Farming & Agrotourism dengan penyertaan pakar dari Malaysia, Indonesia dan Brunei.
Majlis diakhiri dengan hidangan Umami Sundowner Hi-Tea yang mempersembahkan elemen gastronomi tempatan sebagai sebahagian daripada pengalaman pelancongan berasaskan kelestarian dan budaya.-EDISI UKAS