JKR Mukah Bertindak Segera Baiki Sementara Jambatan Kuala Petanak Selepas Aduan Penduduk
MUKAH: Jabatan Kerja Raya (JKR) Mukah mengambil tindakan segera melaksanakan kerja-kerja baik pulih sementara Jambatan Kuala Petanak pada Jumaat susulan aduan kerosakan yang diterima daripada penduduk.
Ahli Dewan Undangan Sarawak (ADUN) Tellian Royston Valentine berkata, aduan berhubung kerosakan jambatan itu diterima melalui aplikasi WhatsApp dan segera disalurkan kepada Jurutera Bahagian JKR Mukah untuk tindakan lanjut.
“Saya menerima aduan melalui WhatsApp malam Khamis yang memaklumkan bahawa jambatan ini mengalami kerosakan sehingga menimbulkan kerisauan pengguna.
“Aduan tersebut telah disalurkan terus kepada Jurutera Bahagian JKR Mukah dan mereka bertindak segera melaksanakan langkah penyelesaian jangka pendek demi keselamatan pengguna,” katanya.
Royston turut meninjau lokasi berkenaan selepas mengadakan perbincangan bersama pihak terlibat di Pusat Khidmatnya.
Beliau merakamkan penghargaan kepada JKR, PJP Barisan serta penduduk atas kerjasama yang memastikan tindakan segera dapat dilaksanakan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan penduduk supaya menyalurkan aduan melalui saluran yang tepat dengan maklumat lengkap bagi membolehkan agensi berkaitan mengambil tindakan sewajarnya dengan lebih cepat dan berkesan.-EDISI UKAS