Tujuh Projek Infrastruktur Perkukuh Kemudahan Komuniti Luar Bandar Opar
LUNDU: Tujuh projek infrastruktur baharu terus membuktikan komitmen Kerajaan Sarawak untuk memperkukuhkan kemudahan komuniti luar bandar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang, berkata pelaksanaan projek-projek ini adalah untuk memastikan masyarakat luar bandar mendapat akses kepada kemudahan yang lebih selamat, teratur dan berkualiti.
“Setiap projek dirancang mengikut keperluan semasa komuniti agar manfaatnya dapat dinikmati secara menyeluruh,” katanya semasa berucap dalam majlis penyerahan dan pemantauan projek berkenaan, di sini, pada Jumaat.
Antara projek yang dilaksanakan ialah Projek Baikpulih Kawasan Letak Kereta di Dewan Kampung Raso 2 melibatkan dana berjumlah RM100,000, bertujuan memberi keselesaan kepada penduduk serta memperkemas aspek keselamatan dan pengurusan ruang ketika penganjuran program di dewan berkenaan.
Di kampung yang sama, satu lagi projek ditumpukan kepada penyediaan fasiliti masyarakat melalui Projek Naiktaraf Dewan Serbaguna Kampung Raso 2 bernilai RM200,000 untuk meningkatkan fungsi dewan sebagai pusat komuniti bagi pelbagai program dan aktiviti setempat.
Sementara itu, penduduk Kampung Raso 1 bakal menikmati kemudahan laluan yang lebih sistematik melalui Projek Pembinaan Jalan ke Tapak Perkuburan dan Gereja St Louis bernilai RM150,000 bagi memastikan kelancaran pergerakan penduduk terutama ketika urusan keagamaan dan adat tradisi kampung.
Di Kampung Simpang Bokah, proses penambahbaikan infrastruktur diteruskan dengan Projek Naiktaraf Dewan Serbaguna Kampung Simpang Bokah bernilai RM200,000 yang dijangka akan menyediakan ruang yang lebih selesa dan berfungsi untuk kegunaan penduduk bagi majlis rasmi, sosial dan kemasyarakatan.
Pembangunan serupa turut dinikmati oleh penduduk Kampung Sebandi Hilir melalui Projek Naiktaraf Dewan Serbaguna Kampung Sebandi Hilir bernilai RM200,000.
Selain itu, Projek Naiktaraf Dewan Serbaguna Kampung Senibong bernilai RM200,000 turut dilaksanakan bagi memperkukuhkan jaringan fasiliti sosial di kampung tersebut supaya lebih kondusif untuk program masyarakat.
Tidak ketinggalan, penduduk Kampung Sebako 2 turut menerima manfaat melalui Projek Naiktaraf Jalan Pertanian Sungai Pate bernilai RM100,000.
Menurut Billy, jalan pertanian ini memainkan peranan penting dalam memudahkan pergerakan hasil pertanian dan akses ke kawasan kebun, seterusnya menyokong ekonomi penduduk.
Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Niponi Undek dan wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Lundu Albert Amit. -EDISI UKAS