PPDK Bestari Siburan Terima RM2 Juta Dana Pembangunan Serta Tambahan RM50,000 Sokongan Operasi
SIBURAN: Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Bestari Siburan menerima suntikan dana pembangunan berjumlah RM2 juta serta RM50,000 bagi menyokong pengurusan operasi dan program pembelajaran.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) Datuk Dr jerip Susil, berkata dana pembangunan sebanyak RM2 juta berkenaan merupakan dana di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) yang akan digunakan untuk membina sebuah pusat pemulihan yang lebih selesa dan lengkap untuk pelatih serta tenaga pengajar.
Selain itu katanya, sumbangan tambahan berjumlah RM50,000 lagi adalah untuk menyokong pengurusan operasi dan program pembelajaran di PPDK Bestari Siburan.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Makan Malam PPDK Bestari Siburan, di sini, pad Jumaat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong itu menegaskan, bantuan dana seumpama ini adalah untuk menyokong peranan penting PPDK dalam menyediakan latihan intervensi awal, pendidikan asas serta pembangunan kemahiran sosial untuk anak-anak istimewa.
Sementara itu, Pengerusi PPDK Bestari Siburan, Lomas William Aten, menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak kerana meluluskan tapak seluas 1.5 ekar bagi pembinaan bangunan baharu PPDK.
Difahamkan, bangunan baharu ini akan menempatkan 48 pelatih golongan istimewa, ruang pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Siburan, serta kemudahan untuk 11 kakitangan PPDK Bestari Siburan. -EDISI UKAS