Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Kuching Salurkan RM289,000 Bantu Komuniti Terjejas Aktiviti Kuari Di Bau
BAU: Sebanyak RM289,000 disalurkan kepada 26 penerima daripada kampung, rumah ibadat dan sekolah di kawasan Bau melalui Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Dana Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Kuching di sini, pada Jumaat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Dato Miro Simuh, berkata program CSR amat penting dalam menyokong kampung-kampung yang terkesan ekoran aktiviti kuari yang dilaksanakan di kawasan sekitar mereka.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru para pengusaha kuari di Bau untuk turut memainkan peranan membaiki jalan-jalan rosak akibat penggunaan kenderaan berat dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya yang lain selamat.
Sementara itu, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Kuching Awang Nazei Awang Saperi berkata, program ini juaga bertujuan untuk memastikan pembangunan setempat berjalan seiring dengan kesejahteraan penduduk.
“Program CSR ini telah dilaksanakan sejak 2018 sebagai sebahagian daripada komitmen JKR untuk meminimumkan impak sosial dan infrastruktur daripada operasi kuari. Usaha ini bukan sahaja membantu penduduk, tetapi juga memastikan pembangunan dan kesejahteraan komuniti sentiasa seimbang,” ujarnya.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan Sijil Pengiktirafan Bumiputera Sarawak bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serembu kepada 10 penerima sebagai penghargaan atas sumbangan mereka terhadap pembangunan komuniti.
Hadir sama, Pegawai Daerah Bau Eddy Nayoi, Setiausaha Majlis Daerah Bau Ong Chin Ping, dan Ketua Unit Bahagian Penguatkuasa Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Thian Choon Kui. -EDISI UKAS