Sarawak Kini Jadi Tumpuan Pelabur Asing Dalam Sektor Tenaga Solar
BINTULU: Sarawak kini menjadi tumpuan pelabur luar negara yang berminat membangunkan projek tenaga solar berskala besar di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, langkah itu sekali gus meningkatkan daya saing industri solar ke pasaran dunia.
“Kita sudah mempunyai pelabur dalam senarai yang ingin menghasilkan tenaga melalui solar.
“Salah satu pelabur dari Arab Saudi telah menyatakan minat dan kini sedang berbincang dengan kita.
“Seperti yang kita tahu, mereka mempunyai sebuah bandar baharu bernama Neom City yang menggunakan tenaga solar sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Menandatangi Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Bintulu Capital Sdn Bhd dan Press Metal Aluminium Sdn Bhd di sini pada Sabtu.
Premier Sarawak menambah, selain Singapura, beliau memaklumkan Sarawak turut memulakan pembekalan tenaga ke Sabah melalui melalui Projek Sambungan Grid Utara dan turut terlibat dalam pelaburan tenaga di Kalimantan.
“Dua hari lalu kita telah mula membekalkan kuasa (elektrik) melalui Sarawak Grid ke Sabah. Sekarang kita boleh menjadi Borneo Grid kerana kita membekalkan elektrik ke Kalimantan Barat, kemudian kita mempunyai pelaburan di Kalimantan Utara,” ujarnya.
Beliau menambah, dengan kelebihan sumber tenaga hijau yang stabil, Sarawak juga mampu bersaing di pasaran global termasuk dalam industri teknologi tinggi seperti penghasilan cip yang melibatkan syarikat gergasi seperti NVIDIA.
Hadir sama dalam majlis itu ialah, Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Dato Husain, Ketua Pegawai Eksekutif Press Metal Aluminium Holdings Berhad, Tan Sri Dato’ Paul Koon Poh Keong, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr. Abdullah Zaidel, Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti dan Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu(BDA), Datu Khaidar Khan Asghar Khan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Firdaus Materang
Foto: Mohamad Rais