Bazaar Krismas Tamu Medamit Pacu Promosi Produk Tempatan
LIMBANG: Bazaar Krismas Tamu Medamit 2025 terus menjadi tumpuan masyarakat apabila ratusan pengunjung membanjiri Dewan Terbuka Medamit pada Rabu.
Acara tahunan itu berperanan sebagai platform penting mempromosikan produk tempatan, mengukuhkan ekonomi peniaga kecil serta mempererat hubungan komuniti setempat.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Kaunselor Ugak Sanggau, yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Dato’ Paulus Palu Gumbang.
Dalam ucapan yang dibaca oleh Kaunselor Ugak, Dato Paulus merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Penganjur atas komitmen memastikan bazaar kekal sebagai acara signifikan dalam kalender komuniti Medamit.
Beliau menegaskan bahawa penglibatan aktif peniaga, masyarakat dan sukarelawan mencerminkan kekuatan kerjasama yang wujud di kawasan tersebut.
“Kejayaan penganjuran Bazaar Krismas ini bukan sahaja menggambarkan semangat kerjasama masyarakat Medamit, tetapi juga menunjukkan betapa kukuhnya perpaduan dan keharmonian yang kita bina bersama,” katanya.
Bazaar kali ini menawarkan pelbagai produk tempatan seperti makanan tradisional, kraf tangan, pakaian etnik, hasil pertanian dan cenderamata bertemakan perayaan.
Sebagai sokongan kepada penganjur, Kaunselor Ugak turut mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM10,000 daripada Dato’ Paulus bagi membantu menampung kos program dan menggalakkan penganjuran berterusan pada masa hadapan. -EDISI UKAS