PBB Cawangan Mulu Adakan Mesyuarat Agung, Fokus Perkukuh Jentera Parti dan Agenda Pembangunan
MIRI: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Mulu hari ini mengadakan Mesyuarat Agung Perwakilan Cawangan 2025 bertempat di Bilik Mesyuarat Bangunan FORUM di sini pada Jumaat.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu Datuk Gerawat Gala berperanan sebagai platform utama bagi menyelaras hala tuju strategik parti, mengukuhkan struktur organisasi serta memperkemas operasi jentera di peringkat akar umbi.
Perbincangan turut melibatkan pelan tindakan jangka pendek dan jangka sederhana yang merangkumi pembangunan infrastruktur, peningkatan kemudahan asas, pengukuhan sumber manusia, pemantapan mekanisme penyampaian, serta strategi komunikasi bersepadu bagi memperluas jangkauan parti kepada masyarakat.
Berucap dalam mesyuarat tersebut, Datuk Gerawat menegaskan PBB sebagai parti tulang belakang dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu terus mengekalkan keupayaan organisasi yang mantap, bersandarkan tadbir urus yang cekap, sistematik dan berintegriti.
Beliau menekankan kepentingan penyelarasan data lapangan, pemantauan projek pembangunan, serta pengukuhan saluran komunikasi antara jentera parti dengan rakyat bagi memastikan dasar kerajaan dan program pembangunan negeri dapat diterima dan difahami dengan tepat oleh masyarakat.
“Saya amat menghargai komitmen semua kepimpinan cawangan yang hadir pada hari ini. Keutuhan struktur organisasi, disiplin kerja, dan kesepakatan dalam setiap anggota merupakan asas kepada kekuatan PBB N.78 Mulu.
"Kita perlu memastikan gerak kerja kita seiring dengan aspirasi kerajaan Sarawak yang memberi tumpuan kepada pembangunan seimbang, ekonomi mampan dan peningkatan kualiti hidup rakyat,” ujar beliau.
Mesyuarat turut membincangkan prestasi semasa program 2025 dan menggariskan beberapa keutamaan bagi tahun 2026, termasuk penyelarasan projek pembangunan fizikal yang sedang berjalan serta perancangan projek baharu di kawasan Mulu.
Turut diberi penekanan ialah pengukuhan peranan Wanita dan Pemuda melalui program peningkatan kapasiti, inovasi komuniti dan pembangunan bakat belia selain bersetuju untuk menstruktur semula strategi komunikasi dan libat urus masyarakat bagi memastikan maklumat dasar kerajaan dapat disampaikan dengan lebih teratur dan berkesan.
Di samping itu, kerjasama dengan agensi kerajaan serta pemimpin masyarakat akan terus dipertingkat bagi memantapkan penyampaian perkhidmatan awam, khususnya di kawasan luar bandar.
Dalam sesi perbentangan laporan, kepimpinan cawangan turut meneliti potensi pembangunan baharu di kawasan Mulu khususnya dalam sektor pelancongan, pertanian moden dan ekonomi setempat yang mampu merancakkan pertumbuhan sosioekonomi komuniti. -EDISI UKAS