BINTULU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak sekali lagi menegaskan peranannya sebagai tulang belakang pembangunan negeri, beroperasi merentas cuaca ekstrem, cabaran teknikal serta risiko keselamatan demi memastikan infrastruktur awam sentiasa berada pada tahap terbaik.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Majang Renggi, berkata sumbangan JKR jelas terpancar melalui rangkaian jalan raya yang semakin mantap, pembinaan jambatan yang menghubungkan kawasan pedalaman, serta kemunculan bangunan kerajaan yang lebih moden dan berfungsi.
“Setiap kejayaan ini adalah hasil iltizam jurutera, pegawai teknikal, penyelia tapak, pelukis pelan, jurukur, penyelaras projek dan seluruh pasukan sokongan yang bekerja dengan penuh dedikasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Kakitangan JKR Bintulu, Jumaat lalu.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan pelaksanaan projek-projek berskala besar seperti Pan Borneo, jaringan jalan pesisir, pembinaan jambatan mega di serata wilayah serta pelbagai inisiatif bandar dan luar bandar terus mengukuhkan keyakinan kerajaan negeri dan Persekutuan terhadap keupayaan JKR.
Datuk Majang juga mengiktiraf semangat petugas lapangan yang berkhidmat jauh dari kawasan bandar, menempuh perjalanan panjang dan cuaca tidak menentu demi memastikan pembangunan berjalan lancar.
Menurutnya, setiap kali berlakunya insiden seperti runtuhan tebing, banjir, jalan terputus atau kerosakan struktur, pasukan JKR sentiasa tampil terlebih dahulu untuk menilai keadaan, menenangkan penduduk dan menerangkan langkah pembaikan yang diambil.
“Pengorbanan sebegini jarang mendapat perhatian, namun inilah jiwa sebenar JKR Sarawak kekuatan yang membina kepercayaan dan kasih rakyat terhadap jabatan ini,” jelasnya. — EDISI UKAS