775 Peserta MyLesen Di DUN Bukit Goram Peroleh Lesen Memandu Kelas B2
KAPIT: Seramai 775 individu dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Goram telah berjaya memperoleh lesen motosikal Kelas B2 menerusi Program Bantuan Lesen Memandu (MyLesen) Kelas B2 anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak.
Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Watson Awan Jalai berkata, kesemua peserta berkenaan telah melalui proses tapisan, latihan dan ujian mengikut syarat yang ditetapkan JPJ Sarawak.
Beliau berharap kejayaan tersebut menjadi pemangkin kepada peningkatan keselamatan jalan raya dalam kalangan pengguna motosikal.
“Walaupun Kapit tidak berdepan kesesakan seperti bandar besar, namun kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa dan tindakan berhati-hati adalah tanggungjawab semua penunggang.
“Kemalangan membawa kesan besar terhadap keluarga, produktiviti negara serta kos kesihatan dan pembaikan aset kerajaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Program MyLesen yang berlangsung di Dewan Suarah Kapit pada Sabtu.
Watson Awan mewakili Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram, Datuk Jefferson Jamit Unyat, untuk menyempurnakan majlis penutupan tersebut.
Dalam ucapan sama, beliau turut menyeru para belia agar memohon lesen melalui saluran yang sah serta menasihatkan ibu bapa supaya tidak membenarkan anak bawah umur menunggang motosikal.
Tegasnya, peserta MyLesen harus menjadi contoh kepada komuniti dan membantu menjadikan Kapit sebagai kawasan yang bukan sahaja kaya dengan budaya, tetapi juga mempunyai kesedaran keselamatan jalan raya yang tinggi.
Program MyLesen merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat Kementerian Pengangkutan melalui JPJ bagi membantu rakyat berpendapatan rendah mendapatkan lesen motosikal Kelas B2 pada kos minimum.
Inisiatif ini juga selaras dengan aspirasi kerajaan untuk mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang 2030. -EDISI UKAS