Kerjasama Komuniti & Pihak Kesihatan Perkukuh Usaha Pencegahan Diabetes Di Beladin
BELADIN: Pendekatan kerjasama antara pemimpin komuniti dan pihak kesihatan menjadi tunjang utama kejayaan Program Saringan Diabetes Komuniti (War on Sugar) yang berlangsung di Klinik Kesihatan Beladin.
Program anjuran Panel Penasihat Klinik Beladin ini membuktikan bahawa penglibatan aktif ketua-ketua kampung serta masyarakat setempat mampu memperkukuh usaha mengawal peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) di kawasan luar bandar.
Menurut Pegawai Perubatan Klinik Beladin, Dr. Syamsuzzaman Aniq Saiful Bahrin, sokongan komuniti memainkan peranan besar dalam memastikan mesej kesihatan sampai ke akar umbi.
“Langkah pencegahan hanya berkesan apabila masyarakat memahami risiko pengambilan gula berlebihan dan bertindak secara kolektif untuk menguruskannya,”katanya ketika berucap menyempurnakan majlis penutupan program tersebut pada Sabtu.
Beliau turut menyeru penduduk untuk menjadikan amalan pemakanan sihat sebagai budaya harian, sambil mengingatkan bahawa diabetes bukan sekadar penyakit, tetapi punca kepada komplikasi yang lebih serius jika tidak dicegah awal.
Sementara itu, Pemanca Daerah Pusa, Rosli Uji dalam ucapannya, mengakui bahawa penglibatan ketua-ketua kampung dalam program ini menjadi pemangkin kepada penyebaran maklumat kesihatan secara lebih menyeluruh.
“Maklumat yang diperoleh melalui program sebegini harus dikongsi dan dipanjangkan kepada ahli keluarga dan komuniti. Kesihatan adalah tanggungjawab bersama,” ujarnya.
Beliau menasihatkan penduduk agar segera berjumpa doktor sekiranya terdapat tanda awal masalah kesihatan, kerana tindakan segera mampu mengelakkan risiko komplikasi kronik.
Program War on Sugar turut disertai pemimpin setempat termasuk Ketua Kampung Tengah Beladin Naali Aie, Ketua Kampung Hulu Beladin Mustapha Sili serta Ketua Kampung Hilir Beladin Awang Subhi Awang Halil.
Kerjasama erat antara klinik dan komuniti ini diyakini mampu membentuk gaya hidup lebih sihat dalam kalangan penduduk Beladin sekali gus menyumbang kepada pengurangan kes diabetes dalam jangka panjang.-EDISI UKAS