Penglibatan Menyeluruh Kunci Kejayaan Komuniti Rendah Karbon
MERADONG: Peranan masyarakat dan pihak berkuasa tempatan menjadi pemacu utama usaha menjayakan agenda komuniti rendah karbon di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata, kejayaan inisiatif rendah karbon tidak hanya bergantung kepada dasar kerajaan, sebaliknya memerlukan penyertaan menyeluruh semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia, kaum dan latar belakang.
“Saya percaya usaha membina komuniti rendah karbon hanya akan berjaya jika kita semua memainkan peranan masing-masing. Ia bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, tetapi usaha bersama seluruh masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan program ''Low Carbon Day'' di Bawah Projek Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) ''Health Promotion and Awareness Programme'' Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ) Tahun 2025 di Dewan Masyarakat Meradong pada Sabtu.
Menurut Datuk Ding, isu perubahan iklim merupakan cabaran global yang perlu ditangani secara kolektif dan usaha ke arah itu perlu bermula dari peringkat komuniti.
Pemahaman masyarakat terhadap kepentingan pengurangan karbon, ujarnya, amat penting bagi memastikan generasi akan datang menikmati persekitaran yang lebih bersih, sihat dan selamat.
Dalam pada itu, beliau memuji langkah proaktif MDMJ menganjurkan program berteraskan kesihatan dan kelestarian alam sekitar, selaras dengan aspirasi pembangunan mapan negara di bawah RMKe-12.
Katanya, pihak berkuasa tempatan mempunyai peranan penting dalam mendidik masyarakat serta memperkukuh budaya hijau di kawasan masing-masing.
Datuk Ding turut menyeru penduduk Meradong supaya terus menyokong pelaksanaan program komuniti yang memberi manfaat jangka panjang.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan membentuk komuniti rendah karbon memerlukan komitmen bersama semua pihak.
Program ‘Low Carbon Day’ berfungsi sebagai platform meningkatkan kesedaran mengenai gaya hidup rendah karbon dan amalan kesihatan dalam kalangan masyarakat.
Ia menghimpunkan pelbagai agensi, pertubuhan masyarakat, sekolah, badan bukan kerajaan dan penduduk setempat bagi memperkukuh usaha kelestarian.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk pameran kesedaran karbon, kempen kitar semula, aktiviti berjalan kaki dan berbasikal santai, pertunjukan inovasi hijau, demonstrasi pengurusan sisa, senamrobik komuniti serta ceramah berkaitan kesihatan dan persekitaran.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Meradong merangkap Pengerusi MDMJ Thomas Geoffrey Kendawang dan Setiausaha MDMJ Lau Chi Sing.-EDISI UKAS