OSEIC Miri Perkasa Ibu Bapa Anak Berkeperluan Khas
MIRI: Parent Caring Workshop 2025 anjuran One-Stop Early Intervention Centre (OSEIC) Sarawak
berjaya memperkasa para ibu bapa dan penjaga anak berkeperluan khas melalui sesi pendedahan, latihan dan sokongan awal yang komprehensif.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Masyarakat Sarawak, Datuk Rosey Yunus berkata, usaha memperkasa ibu bapa adalah antara fokus utama Kerajaan Sarawak dalam memastikan intervensi awal dapat diberikan secara berkesan kepada kanak-kanak berkeperluan khas.
“Ibu bapa memainkan peranan besar sebagai tonggak perkembangan anak, dan program seperti ini menyediakan platform penting untuk meningkatkan keyakinan serta kemahiran mereka,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian program berkenaan di di Dewan SK Anchi, pada Sabtu.
Beliau menambah, bengkel ini adalah sebahagian daripada inisiatif interim OSEIC Miri bagi menyediakan sokongan berstruktur kepada keluarga sebelum pusat tersebut beroperasi sepenuhnya.
Dalam majlis itu, beliau turut berkongsi perkembangan OSEIC Sarawak sejak penubuhannya pada 30 Oktober 2020 sebagai pusat sehenti intervensi awal yang menyediakan terapi pertuturan, terapi cara kerja, fisioterapi dan sokongan psikososial, di mana lebih 2,500 kanak-kanak telah menerima intervensi awal di OSEIC Kuching dan Dalat.
Sementara itu, OSEIC Miri yang kini dalam proses renovasi oleh JKR di Tudan Commercial Centre dijangka mula beroperasi pada Ogos 2026, dan mampu menampung sehingga 500 kanak-kanak bagi sesi intervensi pada satu-satu masa.
Setakat 30 November 2025, seramai 94 kanak-kanak telah berdaftar dengan OSEIC Miri, dengan lebih separuh daripadanya terdiri daripada kanak-kanak ASD.-EDISI UKAS