BCM Catat 265,803 Pengunjung Setakat November Tahun Ini
KUCHING: Muzium Budaya Borneo (BCM) mencatatkan sebanyak 265,803 pengunjung setakat bulan November tahun ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, muzium ini telah menerima lebih 1.5 juta pengunjung sejak dibuka pada Mac 2022 menjadikannya antara tarikan utama di Kuching.
Justeru, beliau menekankan kepentingan kreativiti kurator dan pengurusan muzium untuk memastikan artifak diputar ganti secara berkala bagi mengekalkan daya tarikan kepada pengunjung.
"Proses ini memastikan muzium terus hidup dan menarik, menawarkan pengalaman baharu kepada pengunjung berulang.
"Jika tidak, mereka yang jarang ke muzium mungkin merasakan tiada apa-apa yang baharu untuk dilihat.
"Justeru, kreativiti pihak pengurusan serta kurator amat penting bagi memastikan pameran sentiasa dinamik dan relevan," katanya demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Helios: (The Sun) di BMC pada Sabtu.
Dato Sri Abdul Karim menambah, ini bagi menepis anggapan bahawa pameran muzium kekal statik dan tidak berubah.
Jelasnya, menjadi amalan bagi muzium di seluruh dunia untuk mempamerkan sekitar 20 peratus koleksi muzium pada satu-satu masa manakala 80 peratus lagi disimpan.
Dengan adanya pameran baharu iaitu Helios: (The Sun), Dato Sri Abdul Karim berharap menarik lebih ramai pengunjung ke muzium.
"Saya amat berharap agar Jabatan Muzium Sarawak akan terus membawa masuk lebih banyak karya dan pameran bertaraf antarabangsa yang berimpak tinggi pada masa akan datang.
"Dengan cara ini, kita dapat terus mempromosikan dan mendidik masyarakat bukan sahaja tentang seni, sejarah dan budaya, tetapi juga tentang sains dan teknologi, selaras dengan perkembangan minat dan keperluan semasa," tegasnya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan, Ahli Dewan Negara Dato Ahmad Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datu Sherrina Husaini serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Jurugambar: Ahmad Daniel Faiz