BINTULU: Kerajaan Sarawak memberi keutamaan kepada pemantauan ketat bagi memastikan setiap projek pembangunan dapat disiapkan mengikut jadual serta mengelakkan projek daripada berdepan status sakit.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pendekatan tegas dan sistematik amat diperlukan bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan di lapangan serta menjamin nilai hasil yang berkualiti.
“Keutamaan kita sekarang adalah memastikan semua projek yang sedang dilaksanakan dapat disiapkan mengikut tempoh dan, jika boleh, lebih awal.
“Kita perlu tegas dan berdisiplin agar tidak berlaku projek sakit,” katanya.
Beliau berkata demikian pra-pelancaran jambatan merentasi Batang Kemena (Sebauh) pada Sabtu.
Projek di bawah seliaan JKR Sarawak itu bertujuan meningkatkan jaringan jalan raya dan akses luar bandar di kawasan Sebauh dan sekitarnya.
Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak itu memberitahu, setakat ini hanya dua projek dikenal pasti mengalami masalah, namun yakin isu tersebut dapat ditangani melalui penyelarasan teknikal dan penyelesaian segera.
Ujarnya, peningkatan kualiti penyampaian projek turut bergantung kepada penggunaan peralatan penyelidikan yang lebih baik serta kerjasama efektif antara agensi pelaksana bagi mengenal pasti dan mengatasi cabaran teknikal. -EDISI UKAS