Sambutan Hari OKU 2025 Tekan Inklusiviti & Potensi Golongan OKU
KUCHING: Sambutan Hari Orang Kurang Upaya (OKU) 2025 yang bertemakan “Masyarakat Inklusif OKU, Kunci Kemajuan Sosial” menekankan inklusiviti dan potensi golongan OKU sebagai elemen penting dalam pembangunan sosial dan kemajuan masyarakat.
Penaung Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sri Satok, Dayang Norjihan Abang Abdul Rahman Zohari, berkata tema Sambutan Hari OKU pada tahun ini menekankan pentingnya inklusiviti dan memperkasakan golongan OKU dalam masyarakat terutama dalam bidang pendidikan dan kerjaya.
“Tema ini bukan hanya sekadar slogan, malah ianya seruan untuk kita bertindak. Ia mengingatkan kita bahawa penglibatan orang kurang upaya atau juga dikenali sebagai orang kelainan upaya bukanlah inisiatif khusus yang berasingan tetapi asas pembangunan mampan dan pemaju utama kemajuan untuk masyarakat secara keseluruhan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian dan penutupan Sambutan Hari OKU 2025 di Plaza Merdeka, pada Sabtu.
Menurutnya, penglibatan aktif golongan OKU menyumbang kepada transformasi masyarakat, tetapi juga membolehkan mereka menerajui bidang yang diceburi, termasuk inovasi, pembangunan dasar, dan advokasi.
Beliau turut menegaskan bahawa golongan OKU wajar dilihat sebagai individu berpotensi tinggi dan bukannya sekadar penerima simpati, kerana mereka mampu menyumbang secara signifikan dalam pelbagai bidang demi kemajuan negara.
“Saya ingin menyuruh kepada semua agar tidak melihat orang kelainan upaya ini sebagai kumpulan yang memerlukan simpati sebaliknya mereka patut dilihat sebagai aset penting dalam pembangunan sosial, ekonomi dan kepimpinan negara kerana mereka berpotensi untuk berkembang lebih jauh sekiranya diberi akses persefahaman dan peluang yang ada sama seperti yang lain,” ujarnya.
Jelasnya, institusi pendidikan, agensi latihan dan tempat kerja perlu menyediakan peluang yang menyeluruh agar golongan OKU dapat menunjukkan kebolehan dan kelebihan mereka secara optimum, tanpa sebarang tekanan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Betrice Britney Dee
Foto: Ibanez Jeffery Guang