Apresiasi Agensi Bencana Perkukuh Keselamatan dan Kesediaan Miri
MIRI: Majlis Apresiasi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri 2025 diadakan bagi memperkukuh keselamatan dan tahap kesiapsiagaan bandar raya ini melalui pengiktirafan terhadap agensi-agensi yang memainkan peranan penting dalam pengurusan bencana sepanjang tahun.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, berkata usaha syarikat-syarikat yang membantu menyediakan jentera pembersihan semasa tempoh banjir amat penting bagi meringankan beban Majlis Bandaraya Miri dalam mengurus keadaan kecemasan.
“Kejayaan operasi bencana di Miri adalah hasil kerjasama erat antara pelbagai agensi, yang kekal bersiap siaga demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya ketika berucap dalam majlis berkenaan di Grand Palace Hotel, pada Jumaat.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan, pasukan keselamatan dan barisan hadapan yang telah menunjukkan komitmen tanpa henti dalam mengurus pelbagai insiden.
Antaranya, kejadian tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit serta banjir besar yang melanda beberapa kawasan di Miri dan Subis baru-baru ini.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada agensi-agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri, selain penyerahan sijil kepada pegawai-pegawai yang bertukar tempat bertugas sebagai pengiktirafan terhadap khidmat cemerlang mereka.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan I (Pelancongan) Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Residen Miri Galong Luan, pegawai-pegawai daerah serta Temonggong Boniface Bada.-EDISI UKAS