Projek Pembinaan Gantian 18 Bilik Darjah & Lain-Lain Kemudahan Di SMK Kanowit Siap Lebih Awal
KANOWIT: Projek Pembinaan Gantian 18 Bilik Darjah dan Lain-Lain Kemudahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kanowit yang bermula pada 14 Januari 2023, berjaya disiapkan dua bulan lebih awal daripada jadual asal.
Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, kejayaan menyiapkan projek bernilai RM49.9 juta itu menunjukkan keupayaan Jabatan Kerja Raya (JKR) melaksanakan projek secara tersusun, menepati jadual serta mematuhi piawaian yang ditetapkan.
“Ini membuktikan keberkesanan kerjasama antara kerajaan, agensi pelaksana dan komuniti,” katanya ketika menyempurnakan majlis penyerahan projek tersebut di SMK Kanowit pada Sabtu.
Menurut Dato Sri Alexander, SMK Kanowit kini dilengkapi pelbagai kemudahan baharu antaranya Blok Pentadbiran, Blok Akademik yang menempatkan 18 bilik darjah, surau, bengkel Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), makmal komputer, makmal sains integrasi, makmal kimia serta dua bilik sumber.
Tambah beliau, turut disediakan adalah dua gelanggang permainan, pondok menunggu, pondok basikal, pondok pengawal serta fasiliti sokongan lain termasuk bilik pam dan bomba.
“Ini merupakan pembangunan yang amat bermakna kepada seluruh warga sekolah dan selaras dengan usaha kerajaan menyediakan ekosistem pembelajaran yang lebih selamat, kondusif dan moden,”jelasnya lanjut.
Pada majlis itu, Dato Sri Alexander juga telah menyampaikan sumbangan RM20,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Kanowit bagi menyokong keperluan serta pelaksanaan aktiviti sekolah.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Anyi Jana, ADUN Machan Allan Siden Gramong, Timbalan Setiausaha Bahagian Pembangunan Kementerian Pendidikan Malaysia Khairuddin Bakar, Pengarah Pembinaan Pasukan Projek Khas 2 JKR Dato Ir. Jasmi Wahab dan Pengarah Cawangan Kerja Pendidikan JKR Dato Ir. Dr. Balamurugan A. Gopal.-EDISI UKAS