KUCHING: Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) malam ini bagi lawatan rasmi selama empat hari ke ke bandar raya ini.
Baginda yang diiringi Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta rombongan tiba pada jam 9.30 malam dan disambut oleh isteri kepada Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datin Dayang Halimah Abang Paul.
Turut menyambut keberangkatan tiba Baginda ialah isteri mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datin Patinggi Puan Sri Datuk Wira Lorna Enan Muloon Chan dan Penasihat Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) Datu Sabariah Putit.
Esok, Tunku Azizah dijadual berangkat menyempurnakan majlis perasmian ‘Sense of Malaysia’ di LTAK pada sebelah pagi sebelum menghadiri majlis pelancaran Ekspo Festival Tekstil Antarabangsa Borneo (BITF) 2025 di Muzium Budaya Borneo pada sebelah petang.
Pada sebelah malam pula, Baginda akan berangkat mencemar duli ke majlis pelancaran BITF 2025 di Hotel Pullman Kuching.
Pada pagi Isnin, Tengku Ampuan Pahang dijadual menghadiri Seminar BITF 2025 di Hotel Pullman Kuching sebelum berangkat melawat Juma’ani Pavilion bersempena ulang tahun ketiga hab fesyen Borneo tersebut pada sebelah petang.
Baginda bersama rombongan dijadual berangkat pulang ke Pahang Darul Makmur pada Selasa.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Muhammad Hanif Suhaimi