Taste of Borneo Cultural Carnival 4.0 2026 Dilancarkan, Bakal Diadakan 1-12 Julai Tahun Hadapan
MIRI: Majlis Flag Off dan Pelancaran Taste of Borneo Cultural Carnival (TOBC) 4.0 bagi edisi 2026 berlangsung meriah di Sekolah Menengah Pei Min pada Sabtu.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew menandakan bermulanya persiapan rasmi menuju karnival budaya terbesar di bandar raya ini tahun hadapan.
TOBC 4.0 akan diadakan dari 1 hingga 12 Julai 2026 di Boulevard Miri, melibatkan penyertaan 23 persatuan etnik yang bertujuan mempromosikan kepelbagaian budaya Sarawak serta menyokong Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, sekali gus mengangkat Miri sebagai hab kebudayaan penting di Borneo.
Edisi seterusnya akan mengekalkan konsep Perkampungan Budaya, yang memberikan pengalaman lebih dekat kepada pengunjung untuk merasai suasana kehidupan etnik-etnik utama Sarawak.
Tahun 2026 juga bakal memperlihatkan pembaharuan apabila penganjur menjangkakan penyertaan delegasi budaya dari Yunnan, China, berdasarkan persamaan budaya komuniti minoriti di wilayah itu dengan masyarakat Iban, Bidayuh dan Melanau.
Turut dijemput ialah delegasi budaya dari Indonesia, Sabah dan Brunei, selaras dengan aspirasi menjadikan TOBC sebuah karnival budaya Borneo yang lebih komprehensif.
Sebagai tarikan tambahan, karnival selama 12 hari itu akan menampilkan pameran lebih 1,000 bakul anyaman buluh dan rotan dalam sebuah pameran mini berkonsep muzium dengan pihak penganjur merancang mencipta rekod baharu di peringkat Guinness World Records dan Malaysia Book of Records.
Dari segi pendidikan dan pembangunan modal insan, TOBC 4.0 telah menerima kelulusan Pejabat Pendidikan Daerah Miri untuk menganjurkan pertandingan tarian budaya peringkat sekolah menengah, pertandingan fesyen 3R peringkat sekolah rendah, serta penglibatan pancaragam sekolah menengah dalam perarakan jalan raya.
Semua penyertaan murid akan diberikan mata PAJSK, selaras usaha meningkatkan kesedaran kebudayaan, kelestarian dan pembangunan bakat generasi muda.
Karnival ini turut menyediakan ruang penyertaan melalui penyewaan gerai jualan makanan, produk kreatif, kraftangan dan pameran budaya selain daripada konsert terbuka dan Cultural Exchange Night melibatkan delegasi etnik dan antarabangsa yang akan diadakan setiap malam sepanjang tempoh karnival. -EDISI UKAS