Ngelamaai Buraaq Idaang Cerminan Kekuatan Masyarakat Tering Kekalkan Adat, Identiti
MULU: Perayaan Ngelamaai Buraaq Idaang iaitu tradisi warisan masyarakat Tering yang mempunyai persamaan dengan sambutan Hari Gawai menjadi cerminan masyarakat Tering dalam mengekalkan adat dan identiti mereka.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, Ngelamaai Buraaq Idaang bukan sekadar satu perayaan, tetapi satu manifestasi budaya yang melambangkan kesyukuran, perpaduan dan identiti bersama.
"Perayaan ini mengingatkan kita kepada nilai-nilai murni yang membentuk komuniti Tering iaitu kebersamaan, saling menghormati, bekerjasama dan hidup harmoni," katanya demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Ngelamaai Buraaq Idaang di Dewan Masyarakat Mulu pada Sabtu.
Datuk Sebastian menambah, tradisi komuniti Tering merupakan sebahagian daripada kepelbagaian budaya Sarawak yang perlu dirai dan dipelihara yang bukan sahaja mengangkat warisan budaya, malah mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai negeri yang kaya dengan identiti etnik.
Beliau turut memuji penglibatan ramai golongan muda terlibat dalam perayaan ini yang akan menjadi pewaris masa depan warisan Tering.
Jelaanya, penglibatan belia sama ada melalui persembahan, penganjuran, kerja kreatif atau sekadar turut serta memastikan warisan Ngelamaai Buraaq Idaang terus hidup.
"Teruskan mencintai budaya anda, banggalah dengan asal-usul anda kerana warisan ini adalah kekuatan, identiti dan hubungan anda dengan generasi terdahulu," tegas beliau. -EDISI UKAS