RM15,000 Disalur Bantu Pembangunan Pelajar SK Agama Miri
MIRI: Usaha memperkukuh pembangunan pendidikan awal di Sarawak terus dipertingkat apabila Sekolah Kebangsaan Agama (MIS) Miri menerima peruntukan sebanyak RM15,000 bagi menyokong pelaksanaan program pembangunan pelajarnya.
Sumbangan itu diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap ADUN Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin, ketika merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Sesi 2025 sekolah berkenaan di Dewan Ibnu Khaldun, pada Sabtu.
Menurut beliau, penyaluran dana tersebut adalah komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan pelajar mendapat sokongan holistik merangkumi kecemerlangan akademik, sahsiah dan pembangunan bakat.
Beliau menegaskan bahawa majlis penganugerahan itu bukan sekadar acara rutin, tetapi platform penting menghargai kejayaan murid, dedikasi guru serta peranan ibu bapa dalam membentuk generasi berilmu dan berakhlak mulia.
Dato Sri Lee turut menggalakkan pelajar menjadikan kejayaan yang diraih sebagai motivasi untuk terus mempertingkat prestasi pada masa hadapan.
Majlis turut dihadiri Guru Besar SK Agama (MIS) Miri, Sapri Paee, Yang Dipertua PIBG, Shahriman Shukarmin, barisan pentadbir, guru-guru serta ibu bapa dan penjaga pelajar.-EDISI UKAS