Regatta Bintulu Kembali Luar Biasa Selepas 13 Tahun Menyepi
BINTULU: Selepas 13 tahun tidak dianjurkan, Regatta Bintulu 2025 kembali membuka tirai dengan cukup bergaya apabila menerima sambutan luar biasa daripada ribuan pengunjung yang membanjiri Bintulu Waterfront sepanjang penganjurannya dari 4 hingga 7 Disember lalu.
Acara ikonik yang sinonim dengan warisan sungai masyarakat Bintulu itu bukan sahaja menghidupkan semula tradisi sukan air, malah menjadi pemangkin penyatuan komuniti serta pencetus kepada pertumbuhan ekonomi dan pelancongan daerah.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Perlabuhan (Pembangunan Perlabuhan) Sarawak, Datuk Majang Renggi, berkata kepulangan regatta selepas lebih sedekad mencetuskan fenomena baharu dalam landskap rekreasi serta pelancongan Bintulu.
“Regatta bukan sekadar acara sukan air, tetapi jambatan penyatu masyarakat serta platform memperkasa ekonomi setempat.
“Kehadiran ribuan pengunjung sejak hari pertama menjadikan program ini wadah memperkenalkan budaya, warisan dan potensi pelancongan Bintulu,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Regatta Bintulu 2025, di sini, pada Ahad.
Menurutnya, penglibatan peniaga kecil, pengusaha makanan, kraftangan dan sektor perkhidmatan membuktikan penganjuran regatta mampu merancakkan aktiviti ekonomi tempatan, seiring perkembangan Bintulu sebagai bandar industri yang turut muncul sebagai destinasi rekreasi air.
Beliau menegaskan bahawa edisi 2025 telah berjaya menggerakkan pelbagai sektor secara serentak ekonomi, sosial, budaya, warisan dan keusahawanan menjadikannya simbol kebangkitan agenda pelancongan sungai di daerah ini.
Regatta Bintulu 2025 turut dimeriahkan dengan pelbagai acara pengisian seperti perlumbaan perahu kayuh, Gerai Jualan Usahawan, Program Sejati MADANI, Program Mewarna Kanak-Kanak, Bike Gathering, Bomba Run, Bintulu Flotilla Parade serta Pentas Hiburan dan Kebudayaan pada waktu malam, yang menjadikan sepanjang waterfront hidup dan berseri.
Turut hadir memeriahkan acara penangguhan ialah Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti, Wakil Pegawai Daerah Bintulu, Suzanna Indiat, dan Pengurus Besar Group Stakeholder Relations Bintulu Port Holdings Berhad, Maslihah Tioh.
Dengan sambutan luar biasa ini, Regatta Bintulu bukan sekadar kembali tetapi bangkit sebagai acara tahunan yang berpotensi besar menjadi ikon pelancongan utama Bintulu pada masa akan datang. - EDISI UKAS