BDA Tatau Dinobat Raja Sungai Regatta Bintulu 2025
BINTULU: Regatta Bintulu kembali mengangkat tradisi sukan air penuh prestij apabila Pertandingan Raja Sungai Regatta Bintulu 2025 yang berlangsung di Bintulu Waterfront, Pier 99 hari ini menyaksikan pasukan BDA Tatau muncul juara sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM17,000 beserta piala kejuaraan.
Program yang bermula pada jam 10.00 pagi itu turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Pelabuhan) Sarawak, Datuk Majang Renggi, bersama Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti.
Sebanyak sembilan pasukan berentap merebut gelaran Raja Sungai, iaitu CPWS FT CRT, BDA, BDA Sebauh, BDA Tatau, TLB Plus, Kasihnya Warisan, Kelab Perahu Persatuan Anak Vaie Bintulu, Bintulu Port Holding Berhad dan satu lagi pasukan Bintulu Port Holding Berhad.
Keputusan akhir menyaksikan Kasihnya Warisan menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan hadiah RM7,000, manakala BDA berada di tempat ketiga dan membawa pulang RM5,000.
Penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Datuk Majang Renggi.
Regatta Bintulu yang berlangsung selama empat hari, dari 4 hingga 7 Disember 2025, turut berjaya menarik ribuan pengunjung, menjadikannya antara acara sukan air terbesar di wilayah ini sejak penganjurannya yang terakhir pada tahun 2012. - EDISI UKAS