MIRI: Lebih 40,000 peserta daripada 16 denominasi gereja berhimpun di Dataran Kipas bagi menjayakan 16th Miri City Christmas Parade 2025 pada Sabtu, sebuah acara ikonik bandaraya Miri yang terus menjadi manifestasi perpaduan, keharmonian dan toleransi rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Kehadiran ribuan peserta dan pengunjung menjadikan penganjuran tahun ini antara yang terbesar sejak diperkenalkan pada 2008.
Dalam ucapan Datuk Patinggi Abang Zohari yang dibacakan oleh Datuk Amar Douglas, beliau menegaskan perarakan kali ini mencerminkan pentingnya keamanan, kasih dan keharmonian sebagai asas kekuatan masyarakat Sarawak.
Beliau memuji kesungguhan Majlis Bandaraya Miri dan gereja-gereja tempatan yang telah menjadikan acara ini tradisi penuh makna selama 15 tahun.
“Perarakan ini bukan sekadar sambutan penuh warna-warni, tetapi simbol kesatuan dan semangat kebersamaan rakyat Miri yang meraikan kepelbagaian dengan saling menghormati,” katanya.
Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang, yang juga Pengerusi Bersama penganjur, menegaskan bahawa penyertaan besar-besaran tahun ini membuktikan komitmen masyarakat Kristian dan masyarakat umum Miri dalam memelihara keharmonian sosial.
Menurutnya, penganjuran edisi kali ini diterajui Methodist Church Miri dengan kerjasama rapat Majlis Bandaraya Miri.
Beliau turut menyeru masyarakat menerapkan nilai kasih, pengharapan dan rekonsiliasi selaras dengan tema tahun ini, sambil terus menjadikan perarakan tersebut platform perpaduan universal.
Dalam majlis sama, Datuk Amar Douglas mengumumkan sejumlah peruntukan khas daripada ADUN-ADUN Sarawak berjumlah lebih RM145,000 bagi menyokong penganjuran Miri City Christmas Parade 2025.
Sumbangan tersebut menggambarkan kesepakatan pemimpin negeri dalam memartabatkan penganjuran acara kemasyarakatan berimpak tinggi.
Enam badan bukan kerajaan (NGO) turut menerima bantuan RM5,000 setiap satu termasuk Wishesland Miri, Kenosis Women Centre, Sarawak Children’s Cancer Society (Miri), Prison Fellowship Malaysia, Human Life Service dan Malaysia Christian Association for Relief.
Penganjuran tahun ini sekali lagi menzahirkan semangat “Unity in Diversity” yang menjadi identiti Sarawak, di mana masyarakat pelbagai kaum dan agama hadir bersama meraikan Krismas dalam suasana harmoni dan saling menghormati.-EDISI UKAS