72 Kumpulan Sertai Perarakan Krismas Kuching, Tarik Perhatian Ribuan Pengunjung
KUCHING: Sebanyak 72 kumpulan dengan kira-kira 7,000 peserta daripada pelbagai denominasi Kristian di Sarawak mengambil bahagian dalam Perarakan Krismas Kuching tahun ini yang berlangsung pada Sabtu.
Acara tahunan penuh warna-warni itu dianjurkan oleh Persatuan Gereja-Gereja Sarawak (SCS) dengan Gereja Methodist bertindak sebagai hos utama pada kali ini.
Perarakan tersebut berjaya menarik perhatian ribuan pengunjung tempatan dan luar negara, menjadikannya salah satu acara Krismas yang paling dinanti-nantikan di negeri ini.
Perarakan sejauh empat kilometer itu bermula di Padang Jubli Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan melalui laluan utama termasuk Jalan Padungan, Jalan Tun Abdul Rahman, Lebuh Temple, Lebuh Wayang, Jalan Tabuan dan Jalan Ban Hock, sebelum kembali semula ke Padang Jubli.-EDISI UKAS