‘Sarawak Umpama Rumah Kedua Saya’ - Tengku Ampuan Pahang
KUCHING: “Benar-benar, Sarawak telah menjadi rumah kedua saya, dan anda semua adalah seperti sepupu-sepupu saya.
“Ini bukan sekadar persahabatan, ini adalah hubungan kasih yang panjang dan penuh keriangan antara Pahang dan Sarawak, dua negeri yang disatukan oleh warisan, rasa hormat dan kasih sayang.”
Demikian titah Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj semasa Perasmian Seminar Borneo International Textile Festival (BiTF) 2025, di sini, pada Isnin.
Menurut Baginda, layanan mesra rakyat Sarawak membuatkan setiap lawatan ibarat pulang ke rumah sendiri, diraikan dan dialu-alukan dalam suasana penuh kasih sayang.
Malah titah Baginda, lawatan kali ini bukanlah lawatan baginda selaku Kerabat Diraja Pahang, tetapi sebagai pelajar untuk mempelajari seni warisan Sarawak yang kaya dan unik.
“Dan sebab itulah saya benar-benar berasa rendah diri apabila Sarawak meminta saya untuk memimpin atau memberi inspirasi, tetapi sebenarnya, sayalah pelajar di sini kerana Sarawak ialah sebuah ‘perpustakaan’ kraf dan saya hanya membuka helaian demi helaian, melihatnya dengan penuh rasa syukur.
“Anda memuliakan saya dengan menerima kehadiran saya dalam dunia warisan anda tetapi yang sebenarnya, andalah guru-guru saya.
“Jadi, janganlah anggap saya sebagai seorang pemimpin di hadapan, anggaplah saya sebagai seorang pelajar yang duduk bersama-sama anda,” titah Baginda lagi.
Tambah Baginda lagi, kesediaan Sarawak membantu Pahang dalam mempromosikan keunikan budaya, kraf tangan dan kesenian kedua-dua negeri amatlah dihargai dan diharap terus berkekalan sebagai jambatan yang menghubungkan persahabatan yang terjalin ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan yang mewakili Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak serta tetamu kenamaan yang lain. -EDISI UKAS