Kursus Urutan Tradisional Pacu Peluang Ekonomi Setempat Di Batang Lupar
SEBUYAU: Kursus Urutan Tradisional yang berlangsung di Dewan Komuniti Kampung Tebelu di Sebuyau telah melabuhkan tirainya, meninggalkan impak positif bukan sahaja kepada peserta, malah kepada ekonomi setempat.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, program sebegini bukan sahaja memperkasakan kemahiran individu, malah berpotensi membuka peluang ekonomi baharu kepada masyarakat setempat.
“Urutan tradisional adalah warisan penting yang harus dipelihara, dan ia juga boleh menjadi medium menjana pendapatan, khususnya bagi belia,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penutupan Dan Penyampaian Sijil Kursus Urutan Tradisional di sini, pada Isnin.
Beliau turut menekankan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan pembangunan pendidikan dan kemahiran di kawasan luar bandar terus diberi keutamaan, melalui pelbagai insentif, program dan inisiatif bagi memastikan akses pendidikan berkualiti dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.
Para peserta berkongsi pengalaman positif sepanjang kursus, terutamanya dalam sesi praktikal yang dikendalikan oleh tenaga pengajar bertauliah apabila menyatakan keyakinan untuk mempraktikkan teknik yang dipelajari sama ada untuk tujuan keluarga atau sebagai permulaan kepada perkhidmatan profesional.
Sehubungan itu katanya, program ini dijangka memberi impak ekonomi yang signifikan kepada komuniti setempat melalui peningkatan bilangan pengamal urutan tradisional bertauliah, sekaligus memelihara warisan perubatan tradisional.
Turut hadir, wakil Pegawai Daerah Sebuyau Ajis Ahmad, Pemanca Masyarakat Melayu Daerah Sebuyau Asli Yahya, Pengerusi Jawatankuasa Sukarelawan Wanita Tebelu Sahiza Yaman dan Pengerusi NGO Sarawati, Persatuan Pemerkasaan Usahawan Wanita Kuching Angela Deborah. -EDISI UKAS