Program Inklusif Kalamullah Bersama OKU Bakal Diperluas Ke Seluruh Sarawak
KUCHING: Program Inklusif Kalamullah Bersama Orang Kurang Upaya (OKU) akan diperluaskan ke seluruh negeri Sarawak bagi memastikan Al-Quran dapat diakses dan dihayati oleh semua golongan masyarakat.
Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Misnu Taha berkata, inisiatif ini memberi peluang kepada golongan berkenaan membaca dan memahami Al-Quran melalui pelbagai kaedah, termasuk braille, bahasa isyarat dan pendekatan lain yang bersesuaian.
“Ada menggunakan braille, ada yang menggunakan bahasa isyarat dan ada kaedah lain.
“Namun intinya, Al-Quran tetap dihayati, dibaca, dan berada di hati. Cara bacaan tidak menjadi penghalang yang penting ialah penghayatan itu sendiri.
“Walaupun tidak dapat membaca dengan suara atau secara lancar, setiap individu masih boleh mengakses Al-Quran mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penangguhan Program lnklusif Kalamullah Bersama OKU di sini, pada Isnin.
Datuk Misnu menambah, Tilawah Al-Quran turut dianjurkan pada tahun hadapan bagi golongan istimewa itu.
Dalam pada itu menurutnya, MIS juga akan menyediakan Al-Quran braille secara percuma kepada golongan OKU, dengan peruntukan RM50,000 untuk mencetak Al-Quran bagi memastikan kitab suci ini dapat dibaca dalam pelbagai bentuk.
Turut hadir ialah Pakar Rujuk Syariah Jabatan Mufti Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pusat Al-Quran Darul Hana MIS Datu Khalidi Ibrahim, Pegawai Daerah Bahagian Kuching Zaidi Sarkawi, Ahli Jawatankuasa Pusat Al-Quran Darul Hana Husaini Hamdan, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pengembangan Al-Quran Darul Hana MIS Mohamad Shalahudin Marzuki dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Al-Quran Darul Hana MIS Tazudin Mohtar.-EDISI UKAS