The Silent Run 5.0 Anjuran SSDeaf Tonjol Nilai Keterangkuman
KUCHING: The Silent Run 5.0 kembali dengan skala lebih besar apabila Persatuan Sukan Pekak Sarawak (SSDeaf) mengumumkan penganjurannya di empat bandar utama seluruh Sarawak pada 2026, membawa mesej keterangkuman serta solidariti antara komuniti Pekak dan masyarakat umum.
SSDeaf dalam satun kenyataan pada Isnin berkata, acara larian amal santai peringkat negeri itu dijangka menarik 2,500 penyertaan, bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai budaya komuniti Pekak, memperluaskan penggunaan bahasa isyarat di ruang awam serta menjana dana penting bagi menyokong pembangunan atlet pekak ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Nama The Silent Run sendiri menjadi simbol identiti komuniti Pekak, menekankan bahawa kekuatan dan perpaduan mampu terpancar walaupun tanpa suara tapi melalui kefahaman, penghormatan dan kebersamaan.
Empat lokasi penganjuran yang dijadualkan ialah Bintulu pada 10 Mei 2026, Miri (24 Mei 2026), Sibu (14 Jun 2026) dan Kuching (28 Jun 2026).
Antara lokasi tentatif termasuk The Spring Mall Bintulu, Marina Parkcity dan kawasan parkir Miri City Hall, Dataran Tun Tunku Bujang Fasa 1 (Sibu Town Square) serta ruang legar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).
Pendaftaran ditawarkan melalui empat kategori dengan promosi pendaftaran awal sehingga 31 Januari 2026 pada harga RM10 hingga RM45, manakala kadar biasa bermula 1 Februari hingga 5 April 2026 berharga RM15 hingga RM50.
Sebahagian hasil bersih acara akan disalurkan ke tabung SSDeaf bagi menyokong program latihan serta penyertaan atlet pekak Sarawak dalam kejohanan utama seperti Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA), Asia Pacific Deaf Sports Confederation (APDSC) Games dan Deaflympics.
Atlet pekak Sarawak terus membuktikan kemampuan mereka di pentas antarabangsa dengan kejayaan meraih pingat dalam acara boling, badminton, olahraga dan orienteering di kejohanan besar termasuk Sukan SEA Pekak ke-2 di Jakarta, SOPMA XXII di Kuching serta Deaflympics Musim Panas ke-25 di Tokyo tahun lalu, bukti bahawa sokongan berterusan masyarakat mampu memperkasa mereka ke tahap lebih tinggi.-EDISI UKAS