Delegasi Kerajaan Sarawak Tinjau Pusat Operasi Penyiaran Sukan SEA 2025
BANGKOK: Delegasi Kerajaan Sarawak meneruskan lawatan kerja di Bangkok, Thailand dengan meninjau pusat operasi penyiaran antarabangsa (BOC) Din Daeng yang menjadi komponen penting dalam penganjuran Sukan SEA 2025.
Delegasi kerajaan negeri disertai oleh Timbalan-Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Gerald Rentap Jabu serta Datuk Dr Ripin Lamat, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Azizul Annuar Adenan.
Selain itu, lawatan pada Isnin itu turut dihadiri Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) Morshidi Frederick, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) merangkap Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) Khairul Nizam Morshidi serta barisan pegawai kanan MYSED dan SSC.
Semasa lawatan itu, delegasi kerajaan negeri diberikan taklimat oleh Colonel Chuchat Pimprasert menyentuh mengenai kawalan kualiti siaran, keperluan teknikal, pengurusan isyarat antarabangsa serta piawaian operasi SEAGF.
Selain itu, delegasi turut menilai sistem redundansi, penyelarasan antara BOC, International Broadcast Centre (IBC) dan venue bertanding, serta usaha Thailand menyelaraskan penyiaran, data dan game management system bagi memastikan kelancaran temasya.
Untuk rekod, BOC dikendalikan oleh National Broadcasting Services of Thailand (NBT), badan utama yang bertanggungjawab dalam memastikan kelancaran siaran perlawanan Sukan SEA 2025.
Selepas lawatan tersebut, delegasi bersama Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mengadakan libat urus di The National Shooting Sports Association of Thailand Under Royal Patronage (NSSAT) yang diwakili Setiausaha Agung, Sopittsara Tippayamonton dan Pengurus Pertandingan, Vichit Chiewvej.
Perbincangan memberi tumpuan kepada standard venue, penilaian keselamatan, logistik serta keperluan teknikal sukan menembak mengikut piawaian antarabangsa.
Lawatan ini memberi input penting kepada Sarawak dalam merangka pelan penyiaran, teknologi dan operasi pertandingan menjelang penganjuran Sukan SEA 2027 nanti. - EDISI UKAS