Banjir Kilat Berulang Di Subis & Miri, Agensi Disaran Perketat Tindakan
MIRI: Hujan lebat berterusan sejak lewat malam semalam hingga awal pagi ini mengakibatkan beberapa kawasan di Bahagian Miri termasuk daerah Subis dan Miri dilanda banjir buat kali kedua tahun ini, dengan air sungai dan sistem saliran tidak mampu menampung taburan hujan yang tinggi.
Di sekitar Bandar Raya Miri, beberapa kawasan kediaman mula dinaiki air, antaranya Kampung Muhibbah, Kampung Batu 1, Kampung Sealine, Kampung Pujut Tanjung Batu, Jalan By Pass Miri, Jalan Terusan Utama Pujut, Kampung Pujut Adong 2D, Kampung Tudan, Jalan Bayu Taman Jelita, Taman Pantai Luak dan Luak Bay.
Sementara itu, maklumat orang awam di Daerah Subis setakat jam 3.00 pagi turut mengesahkan banyak kawasan terjejas termasuk Kampung Rambai, Kampung Dagang Sepupok Niah, Pengkalan Lobang, Kampung Tanjung Belipat Niah, Skim Rancangan Sepupok, Kampung Tengah Bekenu, Kuala Tangap Niah, Kampung Peliau, Kampung Jambu Bungai, Kampung Kelapa Bekenu, Taman Perumahan Bekenu, dan beberapa rumah panjang seperti Rh Aron, Rh Ayai, Rh Justin, Rh Enju serta Rh Richard Pilet.
Kedudukan geografi Miri sebagai bandar pesisir dengan jaringan sungai utama seperti Sungai Miri dan Sungai Lutong serta kawasan berbukit menyebabkan aliran air hujan deras dari kawasan tinggi.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Miri turut mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat buruk bermula malam tadi melibatkan daerah Subis, Miri dan Marudi.
Residen Bahagian Miri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri, Galong Luang, menegaskan kesiapsiagaan sepenuhnya semua agensi berkaitan menghadapi musim landas hujung 2025 hingga awal 2026.
“Jawatankuasa Bencana peringkat Bahagian, Daerah, Urusetia serta agensi penyelamat berada dalam keadaan siap siaga.
"Pihak berkuasa tempatan seperti MBM, JKR, DID, Majlis Daerah Subis dan Majlis Daerah Marudi juga diminta memastikan parit-parit dibersihkan bagi membolehkan air mengalir dengan lancar,” katanya.
Mengimbas kembali insiden tanah runtuh lereng bukit pada 29 Januari lalu yang meragut lima nyawa dan mencederakan dua mangsa, JPBB Miri menegaskan risiko bencana berlapis seperti tanah runtuh dan banjir tetap perlu diberi perhatian sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026.
Pada ketika itu, sebanyak 13 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka bagi menempatkan mangsa bencana di Subis dan Miri.
Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) bersama agensi strategik di bawah JPBB Miri komited meneruskan hebahan berkaitan persediaan menghadapi banjir, langkah keselamatan, serta maklumat kesihatan semasa musim hujan kepada masyarakat secara berterusan.-EDISI UKAS