Pop Yeh Yeh Fest Akan Diteruskan Sekiranya Dapat Kelulusan MPKS
ASAJAYA: Penganjuran Pop Yeh Yeh Fest akan diteruskan pada masa yang akan datang sekiranya mendapat kelulusan daripada pihak Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS).
Penganjurnya, Kusairi Mas berkata, penganjuran festival ini bukan sahaja membangunkan seni lagu irama 60-an, malah membantu peniaga-peniaga tempatan.
Menurutnya, seramai 40 vendor yang mengambil bahagian, termasuk peniaga dari Asajaya dan Kuching, menyatakan rasa amat berpuas hati dengan peningkatan hasil jualan yang memberangsangkan sepanjang festival berlangsung.
“Penganjuran di Pusat Penjaja MPKS Tambirat ini turut memberi impak ekonomi langsung yang signifikan,” katanya ketika ditemui pada malam penutup Pop Yeh Yeh Fest, di sini, pada Selasa.
Selain itu, penampilan Mexwell dan penyertaan bakat tempatan, serta sambutan hangat terhadap irama 60-an, membuktikan bahawa warisan muzik ini kekal relevan dan berfungsi sebagai wahana penyatuan yang efektif dalam kalangan masyarakat berbilang kaum Sarawak.
Maxwell pada malam itu turut menyampaikan lapan variasi lagu era 60-an dan turut menyerikan pentas ialah persembahan istimewa daripada Salmiah Marikan, johan pertandingan karaoke Pop Yeh Yeh kali ini.
“Penganjuran ini mencerminkan keupayaan Daerah Asajaya masih memiliki kekayaan warisan seni, menawarkan pengalaman budaya yang unik kepada pelawat,” katanya lagi.
Hadir sama, Kaunselor MPKS Nurafadilla Rasti, Pengerusi Pusat Penjaja MPKS Tambirat Azrizal Jolhan dan Ketua Kampung Tambirat Hilir Sulaiman Lee. -EDISI UKAS