LUNDU: Usaha memperkukuh kemudahan asas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar terus dipergiat menerusi pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), sekali gus mempertingkat kualiti hidup penduduk setempat.
Majlis penyerahan tapak projek anjuran Majlis Daerah Lundu yang berlangsung di Kampung Sebako 1 dan Kampung Titiakar itu telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang pada Isnin.
Turut hadir Ketua Kaum Kampung Sebako 1, KK Anil Basuni dan Ketua Kaum Kampung Titiakar, KK Untang Tajin bersama kira-kira 40 penduduk setempat.
Antara projek yang diserahkan tapak pelaksanaannya ialah projek baik pulih jalan pertanian serta jalan perkuburan Gereja AWC Kampung Sebako dengan kos RM215,000 yang dilaksanakan oleh kontraktor Sigon Enterprise.
Selain itu, projek naik taraf jalan menuju ke Chapel St Matthew di Kampung Titiakar turut dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM80,000 melalui pelantikan kontraktor B.M.M Services.
Pelaksanaan kedua-dua projek ini dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk Kampung Sebako dan Kampung Titiakar, khususnya dalam meningkatkan akses jalan raya, memudahkan urusan harian serta menyokong aktiviti pertanian dan keagamaan di kawasan terlibat.-EDISI UKAS