CSR PETRA Skuad Suntik Kesejahteraan Komuniti, Masjid Terima Sumbangan TNB dan SPAN
KOTA SAMARAHAN: Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sempena PETRA Skuad Zon Sarawak 2026 terus memperkukuh kesejahteraan komuniti apabila dua agensi utama negara menyalurkan sumbangan kepada institusi masjid di negeri ini.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui pelaksanaan CSR Wakalah buat julung kalinya di Sarawak menyalurkan sumbangan kepada dua masjid terpilih iaitu Masjid Darul Malihah Kampung Bukit Berangan, Kota Samarahan serta Masjid Al-Abyad, Matang, Kuching.
Setiap masjid menerima sumbangan sebanyak RM10,000 sebagai pemangkin kepada pelaksanaan awal pendekatan Wakalah di peringkat komuniti.
Menurut TNB, pelaksanaan CSR berkenaan memberi tumpuan kepada dua teras utama iaitu pelaburan komuniti dan pembinaan negara dengan penekanan terhadap impak mampan.
Walaupun tidak terlibat dalam operasi pembekalan tenaga di Sarawak, TNB kekal berperanan sebagai rakan strategik nasional melalui pelaksanaan program CSR dan inisiatif Wakalah.
Sebagai rekod, pada tahun 2025, TNB membelanjakan lebih RM232.3 juta bagi pelaksanaan CSR di seluruh negara merangkumi pelbagai bidang termasuk pendidikan, pembangunan sukan, bantuan persekolahan, khidmat komuniti, kesihatan serta inisiatif solar di rumah ibadat.
Selain itu, TNB turut menyalurkan RM11.9 juta melalui inisiatif zakat Wakalah kepada lebih 36,000 penerima asnaf pada tahun lalu.
Sementara itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) turut melaksanakan program CSR dengan menyumbangkan pili cekap air kepada dua masjid sama di bawah inisiatif Sekolah Rakan SPAN dan Masjid Rakan SPAN.
Program ini merupakan pelaksanaan pertama SPAN di Sarawak yang bertujuan mempromosikan penggunaan air secara berhemat di lokasi tumpuan awam, khususnya rumah ibadat.
Sebanyak 70 unit pili cekap air diserahkan dengan nilai keseluruhan RM2,800, melibatkan 30 unit di Masjid Darul Malihah Kampung Bukit Berangan dan 40 unit di Masjid Al-Abyad, Matang.
Produk pili tersebut telah diuji dan memenuhi piawaian ditetapkan sebelum diberikan label cekap air oleh SPAN bagi memastikan keberkesanan penggunaannya dalam menjimatkan air.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata program PETRA Skuad bertujuan memberi pendedahan kepada pegawai kementerian untuk turun padang meninjau sendiri pelaksanaan projek serta mendapatkan maklum balas terus daripada rakyat.
“Kadangkala perancangan dibuat di pejabat, tetapi masyarakat setempat lebih mengetahui keperluan sebenar di lapangan. Justeru, maklum balas ini penting bagi memastikan setiap projek benar-benar memberi manfaat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas sambutan yang diberikan oleh masyarakat setempat sepanjang program berlangsung.
Sebagai tanda sokongan tambahan kepada komuniti, beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada setiap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan terlibat.
Program CSR ini mencerminkan kerjasama erat antara agensi Persekutuan dan komuniti tempatan dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat, selaras dengan agenda pembangunan mampan negara.-EDISI UKAS