Projek Jalan Berkembar Ke Lapangan Terbang Bintulu Dijangka Siap Lebih Awal
BINTULU: Projek pembinaan jalan berkembar dua hala dari Jepak ke Lapangan Terbang Bintulu dijangka dapat disiapkan lebih awal daripada jadual asal.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir Aidel Lariwoo berkata, projek berkenaan yang dijadualkan siap pada Oktober 2027 menunjukkan kemajuan memberangsangkan setakat ini.
Menurutnya, berdasarkan kadar kemajuan semasa serta skop kerja yang melibatkan jajaran pendek sekitar 4.1 kilometer, kontraktor berpotensi menyiapkan projek lebih awal.
“Apabila siap kelak, jarak perjalanan dari pusat bandar Bintulu ke lapangan terbang akan dipendekkan kepada kurang daripada lapan kilometer berbanding kira-kira 25 kilometer sebelum ini.
“Ini membolehkan perjalanan hanya mengambil masa sekitar 10 minit berbanding hampir 30 minit ketika ini,” katanya ketika ditemui media semasa lawatan kerja ke tapak projek jalan berkembar ke Lapangan Terbang Bintulu, pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan isu pengambilan tanah yang sebelum ini menjadi kekangan telah berjaya diselesaikan hasil kerjasama wakil rakyat tempatan, Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Tanah dan Survei.
“Dengan tiada lagi isu tanah, kontraktor kini dapat mengakses tapak dengan lebih lancar dan kerja berjalan mengikut jadual,” katanya.
Mengulas projek lain, beliau berkata, pembinaan Pusat Pentadbiran Bersepadu (IAC) Bintulu kini hampir siap dari segi fizikal.
Menurutnya, sasaran siap adalah pada penghujung Jun, bergantung kepada penghantaran bahan binaan ke tapak.
“Selepas siap fizikal, agensi kerajaan memerlukan sedikit masa untuk membuat persediaan sebelum berpindah ke premis baharu.
“IAC Bintulu akan menjadi antara bangunan ikonik di kawasan Jepak serta memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan,” jelasnya.
Beliau menambah, projek jalan berkembar dan IAC merupakan antara pembangunan penting yang akan memberi impak besar kepada kawasan Jepak dan Bintulu secara keseluruhan.
Turur hadir pada lawatan itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee.-EDISI UKAS