PETRA Serah Projek RTB RM107.2 Juta, Perkukuh Benteng Banjir Sarawak
KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) terus memperkukuh usaha mitigasi banjir di Sarawak dengan menyerahkan dua projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang telah siap sepenuhnya kepada Kerajaan Sarawak melibatkan nilai keseluruhan RM107.2 juta.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, dua projek berkenaan yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merangkumi RTB Stakan bernilai RM10 juta serta RTB Sibu Fasa 3 dengan kos RM97.2 juta.
Menurutnya, RTB Stakan dilaksanakan bagi menangani isu banjir kilat dan bermusim di lembangan Sungai Stakan susulan tekanan pembangunan pesat di kawasan sempadan Kuching dan Samarahan.
"Melalui pendekatan kejuruteraan bersepadu, projek tersebut berjaya meningkatkan kapasiti aliran serta kecekapan kawalan air, sekali gus memberi perlindungan kepada kira-kira 5,000 penduduk di kawasan terlibat.
"Pelaksanaannya turut membantu mengurangkan risiko kerosakan harta benda serta impak bencana banjir terhadap komuniti setempat," katanya semasa mengadakan lawatan kerja ke Kampung Bukit Berangan di sini pada Insin.
Sementara itu jelas beliau, RTB Sibu Fasa 3 dibangunkan khusus bagi menangani cabaran geografi rendah bandar Sibu yang terletak di pertemuan Batang Rajang dan Batang Igan.
Katanya, kawasan berkenaan sering berdepan risiko limpahan air, khususnya apabila hujan lebat berlaku serentak dengan fenomena air pasang besar.
"Projek ini turut mengambil kira faktor tanah gambut yang tebal bagi mengatasi isu mendapan tanah, sekali gus memastikan keberkesanan jangka panjang sistem tebatan banjir yang dibangunkan.
"Dengan siapnya kedua-dua projek tersebut, risiko banjir di kawasan terlibat dijangka dapat dikurangkan secara signifikan, seterusnya menjamin kelangsungan aktiviti sosioekonomi penduduk," jelas beliau lagi.
Hadir sama, Timbalan Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Samarahan, Datuk Rubiah Wang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim, ADUN Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin, Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Dato’ Sri Mad Zaidi Mohd Karli, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) PETRA, Dato’ Mohd Norhisham Musa, Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato’ Ahmad Nadzri Mohd Hassan, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Bisnes) Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, Ir. Mohd Azmin Hussin, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak, Datu Ir. Ts. Ahmad Denney Ahmad Fauzi serta Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang.-EDISI UKAS