Premier Sarawak Mulakan Lawatan Kerja Rasmi Ke China
NANJING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg selamat tiba di Nanjing dalam rangka lawatan kerja rasmi empat hari ke China bermula hari ini.
Ketibaan Premier Sarawak bersama Pengerusi PETROS Tan Sri Datuk Amar (Dr) Hamid Bugo pada jam 4.50 petang waktu tempatan disambut oleh Timbalan Menteri Utiliti Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) Datuk Ibrahim Baki, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETROS Dato Janin Girie serta delegasi PETROS yang lain.
Lawatan kerja rasmi tersebut dimulakan dengan sesi libat urus bersama Jiangsu Provincial People’s Government di Xikang Guesthouse, Nanjing pada Khamis.
Selepas pertemuan itu, Premier Sarawak bersama delegasi akan menyaksikan pemeterian Perjanjian Rangka Kerja atau Framework Agreement dan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara PETROS dan China Jiangsu International Economic and Technical Cooperation Group Ltd (CJI) di Ibu Pejabat CJI di Nanjing.
Hari ketiga lawatan memberi tumpuan kepada sesi berimpak tinggi di Suzhou Industrial Park (SIP) iaitu salah satu hab pembangunan industri, teknologi dan inovasi paling berjaya di China.
Premier Sarawak dijadual mendengar taklimat pembangunan di Exhibition Hall dan One Stop Centre, diikuti pertemuan rasmi bersama SIP Administrative Committee serta lawatan tapak ke beberapa syarikat terkemuka yang beroperasi di kawasan berkenaan.
SIP yang terkenal dengan ekosistem pembuatan pintar, automasi dan penyelidikan teknologi tinggi menjadi rujukan penting dalam usaha Sarawak membangunkan model ekonomi berteraskan teknologi serta tenaga hijau, selaras dengan aspirasi pembangunan negeri.
Premier Sarawak dijangka berangkat pulang pada Sabtu selepas menyempurnakan rangka lawatan rasmi di Nanjing dan Suzhou.-EDISI UKAS